Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


KANAK-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia dipercayai didera dan dipukul dengan objek tumpul oleh bapa tiri, semalam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa, Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul, 2, ditemui terbaring di lantai dapur rumah di Batu 19 3/4 Jalan Yan, Guar Chempedak, dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Berikutan itu katanya, bapa tiri mangsa berusia 28 tahun itu membawa mangsa ke hospital dan doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Bapa tiri mangsa kemudian membuat laporan polis untuk memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Berikutan itu, mayat dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat pagi ini.

“Hasil bedah siasat mendapati, kematian mangsa disebabkan oleh kecederaan daya tumpul di bahagian abdomen,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahnaz berkata, menurut doktor, kesan kecederaan pada badan si mati disebabkan perbuatan yang disengajakan.

Beliau berkata, mangsa juga berkemungkinan dicubit, ditumbuk di bahagian perut dan belakang badan berdasarkan kesan lebam pada badannya.

“Selain itu, kesan kecederaan abdomen dalaman seperti koyakan hati, pendarahan pada organ mesenteri, kesan lebam pada usus dan pendarahan pada organ pankreas juga kelihatan.

“Semua kecederaan dalaman adalah kecederaan baru dan tidak sampai beberapa jam sebelum si mati meninggal dunia.

“Kecederaan yang dialami si mati tidak konsisten dengan faktor jatuh dari tempat tinggi dan ia lebih kepada dipukul oleh objek tumpul di bahagian abdomen,” katanya.

Shahnaz berkata, berikutan itu bapa tiri mangsa disyaki suspek dalam kejadian itu ditahan untuk membantu siasatan kes ini.

Beliau berkata, selain itu, ibu kandung mangsa berusia 22 tahun yang juga peniaga ikan turut ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 6:35 PM