ANGGOTA Bomba mengeluarkan empat mangsa maut yang tersepit dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan dari arah berbeza di Kampung Pakoh dekat Felda Belara. Gambar kecil, Siti Nur Shahila Asla dan suaminya Hafiiz Mohd Ibrahim. FOTO Imran Makhzan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


SUAMI isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus, hari ini seolah-olah tahu ajal mereka akan tiba apabila masing-masing sudah membuat persiapan Aidilfitri untuk ahli keluarga mereka.

Dalam kemalangan 9.20 pagi itu, Siti Nur Shahila Asla, 26, dan suaminya, Hafiiz Mohd Ibrahim, 29, yang menaiki Proton Wira Aeroback meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada badan.

Sebelum itu, Siti Nur Shahila yang juga anak ketiga daripada empat beradik pulang ke rumah keluarganya di Felda Chiku 5, Gua Musang, Kelantan kelmarin dan sempat membeli pakaian raya untuk ibu, ayah dan adik lelaki yang juga orang kurang upaya kategori lembam.

Malah, Hafiiz yang bekerja sebagai mekanik juga sudah membeli pakaian raya untuk ibu, Esah Abas, 65, dan bapanya, Ibrahim Hashim, 65 sebelum pulang ke kampung isterinya.

Ibu kepada Siti Nur Shahila, Saripah Mohd, 53, berkata, dia tidak menyangka pagi tadi adalah kali terakhir dia melihat anak dan menantunya sebelum dikejutkan dengan kemalangan itu kira-kira 10 pagi tadi.

“Pagi tadi, mereka hanya sempat minum dan bertolak dari sini pada 6.30 pagi. Bella (Siti Nur Shahila) ada minta saya masakkan sira tapai dan nasi dagang dan saya bersyukur kerana sempat menunaikan hajatnya.

“Bella tidak menunjukkan banyak perubahan dan kami tak tahu pun dia nak balik kampung.

“Malah, dia sempat membeli keperluan raya kami sekeluarga. Arwah ada bagi tahu dia akan beraya di rumah suaminya dahulu di Kuala Nerus,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, hari ini.

Tambahnya lagi, dia terkilan kerana hajat anak dan menantu untuk bergelar ibu bapa tidak kesampaian.

Sementara itu, bapa kepada Hafiiz Mohd, Ibrahim berkata, dia reda dengan pemergian mengejut anak dan menantunya pada Ramadan yang mulia ini.

“Siapa yang tidak sedih kerana mereka ini tinggal bersama saya kerana mahu menjaga saya yang mempunyai pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

“Dia selalu nasihatkan saya supaya jaga makan minum dan akan bising sekiranya saya tidak mahu ke hospital membuat pemeriksaan,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, kakak ipar Hafiiz Mohd, Juliana Yahaya, 42, berkata, dia tidak menyangka kemalangan yang dilihatnya dalam Facebook adalah ahli keluarganya sendiri.

“Ketika melayari Facebook, saya terlihat satu kemalangan dan terkejut apabila melihat nombor pendaftaran itu sama dengan kereta milik keluarga sebelum suami saya menghubungi adik ipar, namun panggilan tidak berjawab.

“Kami ke rumah ibu mentua di Kampung Padang Nenas dan mereka juga tidak tahu kejadian itu sebelum adik arwah ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, arwah dan isterinya masih tersepit di dalam kereta Proton Wira Aeroback,” katanya.

Jenazah suami isteri itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Awang Lib, Kampung Padang Nenas, Kuala Nerus.

Selain Siti Nur Shahila dan Hafiiz yang terkorban dalam kemalangan itu, pemandu kereta Peugeot, Anuar Said, 59, dan isterinya, Kasliza@Che Kasliza Che Husin, 53.

Sementara anak kepada Anuar dan Kasliza, Nurul Nadirah, 14, yang cedera di muka dan kaki dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Berita berkaitan

4 maut, 1 cedera

[UPDATE] Wanita hamil 5 bulan antara yang maut

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 5:06 PM