AARON Aziz. FOTO: Saddam Yusoff
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


NAMANYA terus bertahan selepas lebih sedekad berkecimpung dalam bidang hiburan tanah air. Pada usia 43 tahun, pelakon popular Datuk Aaron Aziz masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah untuk beraksi sebagai hero dalam drama dan filem ketika ini.

Namun, Aaron yang menempa nama menerusi drama bersiri popular Tuan Anas Mikael, Isteri Tuan Ihsan dan filem KL Gangster ini mengakui populariti bukan menjadi keutamaannya lagi.

Aaron yang kini turut bergelar pengarah mengakui semakin memilih dengan watak yang ditawarkan kerana mahukan kepelbagaian dalam lakonan.

Terbaru, Aaron baru selesai menjayakan baki penggambaran drama bersiri 100 episod Jodoh-Jodoh Anisa bergandingan dengan Izara Aisyah dan Amar Baharin sebelum Ramadan lalu.

“Alhamdulillah, penggambaran drama bersiri panjang yang mengambil tempoh lapan bulan akhirnya selesai sehari sebelum Ramadan.

“Saya terpaksa menolak tawaran berlakon lain untuk memberi sepenuh komitmen pada drama ini. Saya puas kerana dapat bekerja dengan produksi drama terbabit yang sangat bagus dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan penerbit Datin Zaiton Mohd Jiwa sejak sedekad lalu,” katanya.

AARON bersama Izara Aishah dan Amar Baharin (kiri).

Mengulas wataknya dalam Jodoh-Jodoh Anisa, kata Aaron, ini kali pertama dia melakonkan watak antagonis dalam projek drama.

“Saya terima tawaran watak antagonis itu kerana tidak mahu melakonkan watak hero yang romantis dalam drama bersiri lagi. Saya bersyukur kerana ramai peminat daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak yang memberi maklum balas positif pada watak antagonis yang dilakonkan itu,” katanya.

Ditanya projek filem baru pula, kata Aaron, dia bakal terbabit dengan filem baru selepas Aidilfitri nanti.

“Saya akan beritahu mengenai projek filem itu kepada pihak media dan peminat selepas mendapat kebenaran daripada produser filem itu nanti,” katanya.

NIKMAT DAN KEBERKATAN RAMADAN

Jika nak diikutkan sudah tiga tahun Aaron berehat daripada aktiviti seni setiap kali Ramadan. Menurut Aaron, inilah masanya dia meluangkan masa bersama keluarga untuk sama-sama menjalani ibadah puasa dan solat Tarawih.

“Sudah menjadi kewajipan untuk saya memastikan anak-anak bersahur bersama keluarga di rumah. Saya sentiasa menekankan kepada mereka mengenai nikmat berpuasa dan keberkatan bersahur.

“Pada masa sama, kami sekeluarga juga meluangkan masa untuk menunaikan solat Tarawih bersama di rumah,” katanya.

Mengenai juadah berbuka pula, Aaron akui tidak cerewet dan makan saja apa yang disediakan isterinya, Datin Diyana Halik.

“Saya perlu berbuka dengan minuman manis dan panas terlebih dulu. Isteri tidak sempat memasak kerana kami sibuk berulang-alik untuk menguruskan perniagaan di Singapura.

“Selain berniaga, saya turut menghadiri undangan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, rumah kebajikan, kanak-kanak istimewa dan bekas banduan di Singapura,” katanya.

Ditanya mengenai perniagaannya pula, kata Aaron, dia sibuk memberi tumpuan pada produk yang diusahakan di sini dan Singapura.

“Perniagaan di Malaysia diusahakan secara online tapi di Singapura, kami berniaga di bazar dan mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung. Kami menjual produk dan jenama seperti tudung koleksi DiyanaHalik.Com, baju Melayu Aaron Aziz by Jakel, ‘instant’ samping jenama Band Of Braders, madu, habbatussauda dan barangan sunah,” katanya.

Sudah menjadi tradisi keluarga mereka pada 1 Syawal akan disambut di Singapura setiap tahun.

“Raya memang cukup bermakna buat kami kerana berjauhan dengan anggota keluarga dan hanya dapat berkumpul bersama mereka setahun sekali untuk saling bermaafan antara satu sama lain.

“Suasana raya kali ini berbeza kerana kami beraya tanpa kedua-dua nenek yang baru meninggal dunia bulan lalu,” katanya.

Ditanya persiapan rayanya pula, kata Aaron, dia dan keluarga hanya meraikannya secara sederhana saban tahun.

“Saya akan bergaya dengan empat pasang baju Melayu tajaan Jakel yang warna sedondon dengan isteri dan anak-anak. Persiapan raya juga lebih kepada baju dan kasut anak-anak kerana mereka semakin membesar dan baju lama sudah tidak muat untuk dipakai,” katanya yang merancang untuk mengadakan rumah terbuka khusus untuk teman rapat dan peminat nanti.

“Kami akan beraya selama lima hari di Singapura dan selepas itu kembali ke kediaman di Shah Alam. Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, kami akan mengadakan rumah terbuka nanti,” kata bapa kepada tiga anak ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 5:30 AM