DARI kanan, Raja Syahiran, Sissy, Fara dan Wani. FOTO: Rosela Ismail
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


BERSEMPENA penganjuran Festival dan Anugerah Durian Bangi Golf Resort pada 13 dan 14 Julai ini, empat penyanyi remaja tempatan iaitu Sissy Imann, Fara Hezel, Wani Kayrie dan Raja Syahiran dipilih sebagai Sahabat Durian Festival.

Pemilihan selebriti ini kerana mereka adalah peminat nombor satu durian selain turut serta dalam memeriahkan festival itu kelak.

Bagi Sissy Imann, dia gemar makan durian sejak kecil dan tidak pernah melepaskan peluang makan durian setiap kali tiba musim durian.

“Saya memang gemarkan durian sejak kecil lagi. Kalau nak tahu, arkib gambar saya sewaktu kecil banyak dengan durian. Itu sebab apabila pihak penganjur berjumpa, saya tunjuk gambar itu. Mereka pun mempelawa saya untuk terbabit dalam projek ini.

“Saya boleh habiskan dua biji seorang diri pada satu masa. Walaupun semua orang cakap durian panas, saya tak. Itu yang boleh makan banyak. Makanan berkaitan durian pun saya makan juga.

“Setiap kali makan durian, ia adalah peristiwa indah buat saya. Lagi satu, keluarga saya juga penggemar durian. Ada saja festival durian atau musim durian, kami takkan lepaskan peluang,” katanya.

Sama seperti Sissy, penyanyi Wani Kayrie juga penggemar raja buah itu sejak kecil, malah menyifatkan dirinya ‘hantu’ durian.

“Saya memang hantu durian sejak kecil. Saya sukakan durian kampung. Setiap kali Aidilfitri saya akan pulang kampung di Sabah dan di belakang rumah nenek pula ada pokok durian.

“Jangan terkejut kalau saya boleh habiskan durian dalam kuantiti banyak seorang diri. Orang cakap, bagi satu bakul pun saya boleh habiskan tanpa berkongsi.


SISSY (kanan) cuba mengupas buah durian.

“Jadi, apabila dipilih terbabit dalam program ini, saya sangat seronok. Dapat makan ‘free’ durian lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Festival, BK Tan berkata, lebih 5,000 kilogram durian dari seluruh Malaysia akan ditawarkan pada festival itu selain menjangkakan kehadiran pengunjung berganda berbanding penganjuran kali pertama tahun lalu yang menyaksikan lebih 6,000 pengunjung hadir.

“Festival kali ini membawa durian variasi terkenal dari ladang di Pulau Pinang, Pahang, Johor dan serata Malaysia dikumpulkan di Bangi Golf Resort.

“Dari durian kampung, D24, Duri Hitam hinggalah kegemaran ramai Raja Kunyit atau lebih dikenali sebagai Musang King menanti peminat durian kelak,” katanya.

Selain dari pasar petani, festival itu juga akan dimeriahkan lagi dengan acara sokongan seperti Kejohanan Dunia Durian, Larian Durian dan Konsert Raja Buah.

Larian Durian akan menyaksikan peserta berlari bersama durian di dalam padang golf di Bangi Golf Resort.

Konsert Raja Buah pula akan menghidangkan bukan saja persembahan daripada artis terkenal tanah air, malah jamuan makan malam yang diilhamkan oleh durian.

Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort tahun ini turut disokong oleh Mardi, radio rasmi Selangor FM, portal rasmi F8Buzz.com dan penaja Dulai Fruits, AgroBridge, F&B Equipments dan Terra Security Monitoring Sdn. Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 5:00 AM