ALMARHUM Sultan Ahmad Shah mencemar duli turun ke padang mententeramkan penyokong yang dibenarkan masuk dan duduk di atas balapan stadium akibat kepadatan penyokong dan menyebabkan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di antara Pahang dan Johor Darul Takzim ditangguh selama 30 minit di Stadium Darul Makmur pada 28 Mei 2013.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Kenangan tidak dapat saya lupakan apabila Almarhum (Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah) umum pelantikan saya sebagai ketua jurulatih kebangsaan secara langsung di depan penyokong sejurus selepas kita muncul juara Pestabola Merdeka 2007.”

Begitu kata ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan, 61, yang pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih kebangsaan dari 2007 hingga 2008 dan skuad bawah 23 tahun (2007-2009).

Menurutnya, biarpun Almarhum ada menghubunginya dia tidak menyangka baginda akan mengumumkan secara langsung dan disiarkan di televisyen selepas Malaysia menewaskan Myanmar 3-1 di Stadium Shah Alam.

“Sebelum final Almarhum ada telefon dan berbual. Saya terkejut dimaklumkan akan dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan.

“Almarhum minta saya jangan tolak. Itu kenangan yang tidak boleh saya lupakan,” katanya dihubungi, semalam.

Sathianathan berkata, Almarhum adalah peminat nombor satu dan paling berjasa dalam pembangunan bola sepak Malaysia.

“Almarhum seorang yang tegas tapi peramah. Saya masih ingat ketika berjumpa Almarhum di London ketika bawa pasukan bawah 20 tahun untuk perlawanan persahabatan di Arsenal.

“Disebabkan kesesakan lalu lintas masa itu, bas membawa kami lewat sampai di stadium, tapi Almarhum sanggup tunggu sejam di sebelah kereta dalam keadaan cuaca sejuk. Almarhum tidak murka, malah menyambut kami dengan mesra.

“Satu lagi sikap Almarhum, setiap kali perlawanan kalah atau menang tetap datang berjumpa dan beri kata semangat kepada pemain,” katanya.

Beliau berkata, kali pertama dia bertemu Almarhum di Istana Negara ketika mewakili negara untuk ke Sukan Sea 1981 di Singapura.

Sementara itu, bekas pengurus, jurulatih dan pemain bola sepak kebangsaan, Datuk M Karathu berkata, kemangkatan Sultan Ahmad Shah adalah kehilangan besar kepada negara khususnya pada bola sepak negara dan serantau.

Katanya, ini dibuktikan ketika Almarhum menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari tahun 1984 sehingga 2014 selain presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

“Almarhum seorang yang boleh berbincang dengan semua orang, sangat merendah diri serta presiden terbaik untuk bola sepak negara.

“Antara sumbangan besar kepada pembangunan bola sepak negara, termasuk memperkenalkan Liga semipro dan liga profesional. Di peringkat Asia, tuanku membantu wujudkan pejabat AFC di Malaysia.

“Kenangan saya dengan tuanku, apabila dilantik sebagai Pengarah Teknikal Akademi Bola Sepak FAM yang pertama kali diwujudkan di Kuantan pada 1991. Saya juga menjadi ketua jurulatih dan dibantu Irfan Bakti,” katanya.

Pandangan beliau disokong bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali yang menyifatkan Almarhum Sultan Ahmad Shah sebagai ‘bapa’ bola sepak Malaysia.

“Kenangan tidak dilupakan ketika majlis makan tengah hari skuad kebangsaan dengan Almarhum di Rumah Malaysia di Jalan Ampang sempena perlawanan menentang Korea Selatan bagi kelayakan Olimpik 1980.

“Tuanku yang ketika itu adalah Yang di-Pertuan Agong sempat bergurau nak tarik kerakyatan saya dan (mendiang Datuk) R Arumugam jika skuad negara tewas.

“Sebelah malamnya kita menang 2-1 ke atas Korea Selatan dan baginda cukup gembira Malaysia layak untuk kali kedua ke Olimpik. Itu sejarah paling istimewa bagi saya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 6:00 AM