WANI cuba sesuaikan diri hidup di kampus bersama rakan. FOTO: Rosela Ismail
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


DALAM kesibukan merencana kerjaya seninya, penyanyi remaja Wani Kayrie mengotakan janji untuk menyambung pengajian di universiti.

Selepas sebulan mengikuti Asasi Undang-Undang di Management and Science University (MSU), Wani, 19, atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah mengakui semakin seronok meski perlu bekerja dalam waktu sama.

Bagi Wani, dia menganggap itu adalah rezeki dan cuba untuk membahagikan masa sebaiknya tanpa ada satu yang tercicir.

“Dulu saya fikir kalau belajar mesti persembahan nyanyian kurang. Tapi, apabila saya mula belajar dan sibuk, tawaran kerja lebih banyak. Sama macam saya ambil SPM dulu yang mana tawaran menyanyi masih banyak. Tuhan berikan rezeki tak berhenti. Itu yang saya nak pun.

“Kalau boleh memang nak kerjaya dan belajar bergerak seiring. Saya tak nak tangguh karier sebab sewaktu ambil SPM saya berehat selama dua bulan. Apabila berbuat sedemikian, saya tak ada tawaran menyanyi.

“Bagi saya, tidak salah belajar sambil menyanyi. Sebab saya boleh susun waktu. Dalam erti kata lain, saya seronok belajar sambil bekerja. Tak ada tekanan pun,” katanya.

Bagaimanapun, Wani yang juga peserta program Big Stage musim pertama berkata, ada perkara yang perlu dikorbankan iaitu masa bersama keluarga.

“Apabila saya sibuk belajar dan berkerja, masa dengan keluarga semakin berkurang. Saya sudah jarang keluar dan habiskan masa dengan mereka. Saya lebih banyak berada di kampus dan berjumpa rakan industri,” katanya.


MASA Wani dengan keluarga kurang.

SESUAIKAN DIRI

Berkongsi mengenai suasana pembelajaran dan penerimaan pelajar lain terhadap dirinya, Wani yang mendapat tajaan biasiswa daripada MSU berkata, agak sukar untuknya menyesuaikan diri.

“Memandangkan ‘batch’ saya lebih kepada umur lepasan SPM, diakui agak susah dan pelik nak bergaul. Walaupun umur kami sama, susah sebab pemikiran mereka lain daripada saya yang kerap berjumpa dan bekerjasama dengan orang dewasa.

“Apatah lagi ketika pembahagian kerja dan pembentangan tugasan, memang lain apabila bergabung dengan mereka.

“Bagi mengatasi masalah itu, saya tak boleh buat hal sendiri. Walaupun pada awalnya saya diam dan nak tengok ada atau tidak yang cuba mendekati saya, tetapi tak ada. Semuanya takut-takut. Jadi, saya yang kena mulakan.

“Malah, sewaktu sesi suai kenal, saya sudah cakap jangan panggil Wani Kayrie, panggil saja Wani. Jadikan saya kawan dan jangan anggap saya artis sebab kita semua belajar. Namun, mereka masih segan. Saya tak boleh biar sebab kerja berkumpulan banyak. Saya yang tegur dulu, saya sukarela nak buat apa-apa supaya mereka selesa dengan saya,” katanya.

Menurut Wani, mendapat biasiswa dan sekali gus menjadi duta MSU adalah tanggungjawab berat untuknya.

“Saya berasakan berat apabila orang meletakkan harapan tinggi. Saya mendapat biasiswa jadi kena dapat keputusan bagus. Itu tanggungjawab berat.

“Kawan-kawan pula tahu saya pelajar biasiswa, jadi ada suka dan tak. Apa pun, saya anggap itu cabaran untuk mengharungi kehidupan di universiti,” katanya.

MASA BERCINTA

Biarpun pernah dikaitkan bercinta dengan penyanyi Afieq Syazwan, itu bukan sebab utama Wani memilih menyambung pengajian di universiti sama.

“Afieq masuk dulu dan dia sudah lama. Saya masuk bukan sebab dia dan tak ada kena mengena pun,” katanya.

Diusik mengenai zaman belajar adalah waktu untuk dirinya mengenal cinta, Wani mengakui ramai yang ingin berkenalan dengannya.

“Mana-mana pergi orang sama yang tegur. Ada senior dan sama ‘batch’. Semua yang tegur mungkin nak berkawan. Saya layankan saja.

“Lagi pun, saya memang suka kalau orang nak berkawan dengan saya. Saya terbuka nak berkawan dengan sesiapa pun,” katanya.

Mengenai kerjaya seni, Wani dalam proses menghasilkan single baru ciptaan Alif bekas kumpulan Sleeq.

“Lagu ini berentak pop dan mengetengahkan eleman dangdut koplo segar. Insya-Allah, ia akan dilancarkan selepas sambutan Aidilfitri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 6:30 AM