JULIA semakin menyerlah hingga sibuk terima banyak tawaran berlakon. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


BERSANDARKAN wajah kacukan Melayu dan Itali serta pakej lengkap bukan tiket mudah untuk Juliana Farhana Marin, 26, menempa nama dalam bidang lakonan tanah air.

Pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Salon ini berkata, dia mempertaruhkan minat mendalam dan kerja keras sejak empat tahun lalu.

“Mungkin ramai tidak tahu, sebelum menjadi pelakon saya pernah gagal sebanyak dua kali ketika sesi uji bakat pertandingan Dewi Remaja. Saya juga pernah menghadiri sebanyak 100 sesi uji bakat lakonan dan 80 daripada uji bakat itu, saya gagal mendapat watak ditawarkan ketika itu.

“Namun, saya tidak putus asa dan belajar daripada setiap kegagalan itu serta memperbaiki kelemahan untuk mendapat tempat dalam bidang lakonan,” katanya.

Bagaimanapun, tuah akhirnya menyebelahi Julia apabila bakatnya mendapat perhatian pengarah hebat Kabir Bhatia untuk berlakon dalam drama bersiri Salon, tahun lalu.

“Saya ditawarkan watak utama Anna dan Maria selepas tiga kali sesi uji bakat. Alhamdulillah, selepas Salon, nama semakin menyerlah dan tawaran berlakon tidak pernah putus sampai sekarang,” katanya.

TURUT menerima banyak tawaran watak antagonis.

Julia berkata, dia baru selesai penggambaran drama bersiri komedi sebanyak 20 episod berjudul Mama Papa Ekspres bergandingan dengan Azrel Ismail.

“Saya melakonkan watak isteri yang mengambil tiga anak angkat bersama suaminya selepas gagal mendapat anak sendiri. Saya terima tawaran ini kerana tidak pernah berlakon cerita komedi dan skripnya menarik,” katanya.

Julia berkata, dia tidak ada masalah untuk mendapatkan keserasian dengan Azrel kerana mereka profesional ketika bekerja.

“Walaupun belum berkahwin dan ada anak, saya tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan tiga pelakon kanak-kanak terbabit kerana mereka juga ada pengalaman berlakon sebelum ini,” katanya.

Menyusul selepas itu, Julia terbabit dengan penggambaran drama bersiri 80 episod Puteri Yang Ditukar untuk saluran Astro sepanjang Ramadan ini.

Drama yang membabitkan penggambaran selama empat bulan ini menampilkan barisan pelakon seperti Elisya Sandha, Eyra Hazali, Siti Elizad, Zila Bakarin.

“Saya terima tawaran bawa watak antagonis dalam drama berat ini kerana ada kelainan daripada lakonan sebelum ini. Saya perlu menjayakan babak menampar dan memukul orang serta sudah sedia dibenci penonton nanti,” katanya.

Selain drama, Julia juga bakal beraksi menerusi dua filem iaitu Helang Laut dan filem aksi thriller berkaitan Sabah tahun ini.

JULIA memegang watak Anna dan Maria dalam Salon.

Menurut Julia, dalam filem Helang Laut arahan Jason Chong, dia akan melakonkan watak pegawai tentera laut iaitu Leftenan Lati yang juga heroin filem genre aksi itu.

“Saya berangan melakonkan watak tentera laut sejak berusia 12 tahun lagi. Pihak produksi masih mencari hero untuk digandingkan dengan saya dan penggambaran dijangka bermula lepas Aidilfitri nanti,” katanya.

SERONOK BERPUASA DI LOKASI

Dibesarkan dalam keluarga berdarah kacukan, kedatangan Ramadan kali ini memang dinantikan Julia sejak awal lagi.

Menurut Julia, dia memang menanti peluang untuk berbuka puasa dengan barisan pelakon dan kru di lokasi penggambaran.

“Saya memang berkampung di lokasi penggambaran drama Puteri Yang Ditukar sejak awal Ramadan lagi. Justeru, saya banyak belajar mengenai ibadah puasa dengan rakan artis dan kru di lokasi,” katanya.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri pula, kata Julia, dia hanya meraikannya bersama keluarga di Kuala Lumpur.

“Saya dibesarkan di Australia tetapi selepas tamat sekolah, mama bercerai dengan bapa dan kami sekeluarga menetap di Kuala Lumpur sampai sekarang.

“Saya juga hanya menyambut raya dengan keluar makan malam bersama mama dan dua lagi adik, Razali Antonio dan Suzana Ornella,” katanya.

Ditanya persiapan Aidilfitri pula, kata Julia, ia hanya sederhana saja.

“Saya tidak suka membazir, baju raya pun dua helai saja kerana apa yang penting masa berkualiti bersama keluarga. Saya dibesarkan dengan makanan barat seperti spagheti, pasta dan lasagna sejak kecil kerana bapa keturunan Itali. Namun, mama tetap sediakan juadah raya seperti serunding daging, rendang dan ketupat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:31 AM