GAMBAR Hiasan.
Meor Riduwan Meor Ahmad dan Firdaus Hashim & Syazwan Msar
sukan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Ciplak barang (jersi) sebenarnya kerja orang dalam persatuan juga,” kata seorang pengusaha jersi tiruan yang hanya mahu dikenali dengan Angah.

Dia yang sudah berkecimpung dalam pembuatan dan penjualan jersi tiruan sejak 10 tahun lalu berkata, dalang barangan cetak rompak terutama jersi pasukan Liga Malaysia (Liga M) akan bersekongkol dengan pegawai persatuan bola sepak negeri (FA) yang mahu mengaut keuntungan menerusi pintu belakang.

Katanya, selain hak penajaan jersi diberikan kepada pengeluar sah seperti Al-Ikhsan, Joma, Nike, Lotto atau Adidas, segelintir pegawai FA turut membantu dengan mengedarkan contoh lakaran jersi tulen bagi diciplak untuk gred ‘copy original’ atau seakan tulen.

“Bukan senang orang luar nak dapatkan gred baju copy ori (original). Biasanya yang itu disimpan oleh pegawai FA dan mereka akan bagi kepada penjual biasa untuk dibuat (jersi klon) jualan di luar stadium,” katanya kepada Arena Metro.

Jelasnya, keuntungan tak seberapa hasil daripada jualan menerusi penaja sah menyebabkan pegawai berkenaan sanggup melakukan urus niaga dengan pengusaha cetak rompak.

“Kebiasaannya jersi yang dijual oleh penaja agak mahal. Jadi mereka (pegawai FA) tak berapa nak untung bila penaja beri hasil jualan kepada FA dari 55-60 peratus mengikut perjanjian yang ditandatangani.

“Tapi bila jersi mahal tak ramai penyokong yang berkemampuan nak beli. Jadi segelintir FA ada yang berurusan dengan penjual luar dan dari situ mereka akan dapat lebih banyak keuntungan.

“Maksudnya ‘income’ akan masuk dua, satu daripada penaja jersi satu lagi penjual di luar stadium. Malah, kebenaran untuk penjaja menjual jersi itu (jersi klon) adalah kebenaran daripada FA juga,” katanya.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan terdapat pihak tertentu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit manakala yang gigit jari pula adalah persatuan bola sepak negeri apabila kegiatan cetak rompak pelbagai barangan termasuk jersi dan cenderamata menyebabkan mereka menanggung kerugian dalam jumlah yang agak besar.

Malah, isu berkenaan yang membelenggu sejak puluhan tahun lalu sememangnya tiada penyelesaian jitu apabila barangan cetak rompak itu dijual secara berleluasa tanpa sebarang tindakan proaktif hingga dilihat sebagai perkara biasa apabila penyokong menggunakan produk ciplak.

Mengikut harga sebenar setiap jersi tulen adalah dalam lingkungan RM100 hingga RM300 bergantung kepada jenama selain cenderamata pula seperti mafla, topi dan rantai kunci pula boleh diperoleh sekitar RM20 hingga RM50.

Harga berkenaan jauh berbeza dengan cetak rompak yang boleh didapati dengan harga serendah RM10 untuk jersi pasukan manakala barangan lain pula lingkungan RM5 hingga RM20 sahaja sekali gus cukup sukar kepada persatuan bola sepak negeri untuk bersaing dengan lanun ciplak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:30 AM