CHE TA bersama Dr Rohana (tengah) menyampaikan pek sumbangan Ramadan kepada pesakit kanak-kanak pada Majlis Berbuka Puasa Rozita Che Wan dan SAR Group Prudential, di Hospital Serdang. FOTO: Aizuddin Saad
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PELAKON popular, Rozita Che Wan tersentuh hati melihat keperitan dialami pesakit jantung dewasa, kanak-kanak dan bayi yang menerima rawatan di Hospital Serdang, baru-baru ini.

Rozita, 46, yang mesra dengan sapaan Che Ta pada lawatannya ke hospital itu baru-baru ini turut ditemani suami, Zain Saidin dan anak perempuan mereka, Aaisyah Dhia Rana.

Che Ta berkata, sebagai ibu dia begitu terkesan dengan dugaan besar menimpa keluarga pesakit jantung yang menjalani rawatan di hospital berkenaan.

“Hati saya sangat tersentuh melihat ketabahan dan kesabaran keluarga bersama pesakit jantung yang cekal menjalani rawatan untuk kembali sihat semula. Selain itu, saya bersama suami dan anak juga diberi pendedahan oleh doktor pakar berpengalaman di hospital mengenai penyakit jantung.

“Banyak maklumat penting dikongsikan yang boleh dijadikan panduan untuk pencegahan penyakit jantung dan saya berterima kasih kepada pihak Hospital Serdang di atas jemputan lawatan kepada saya,” katanya.

Jemputan lawatan untuk meraikan pesakit jantung yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan susulan daripada kunjungan kali pertama dilakukan Che Ta yang melawat pesakit di Hospital Sungai Buloh, sebelum itu.

Che Ta yang sedondon berbaju kuning bersama anaknya, Aaisyah berkata, dia juga mengenakan pakaian sesuai mengikut apa yang dimaklumkan pihak hospital. Pada kunjungan itu, Che Ta menghulurkan sumbangan daripada pihak Prudential BSN Takaful kepada pesakit jantung dengan diiringi Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan dan Ketua Jabatan Kardiotorasik Hospital Serdang, Dr Mohamad Arif Muhammad Nor.

Hadir sama, Pegawai Perubatan Jabatan Kardiotorasik Hospital Serdang merangkap Naib Setiausaha Persatuan Kardiotorasik Serdang, Dr Nurhamizah Zulkifli dan beberapa wakil dari Prudential.


CHE TA bertanya khabar dengan ibu bayi yang dirawat di Hospital Serdang.

Che Ta dan keluarga dibawa melawat ke Unit Rehabilitasi Kardiologi 6E dan Unit Rawatan Kardiotorasik 6F termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU) pesakit dewasa dan kanak-kanak di hospital itu.

Dr Rohana berkata, pihaknya bersikap terbuka dan positif menerima kunjungan selebriti berminat yang sanggup meluangkan masa meraikan pesakit di hospital itu.

“Sesiapa saja selebriti yang ingin berkunjung ke Hospital Serdang untuk luangkan masa meraikan pesakit sangat dialu-alukan tetapi perlu mengikut prosedur hospital.

“Saya berterima kasih kepada Che Ta dan keluarga di atas kunjungan dibuat kerana sudi datang melawat dan meraikan pesakit jantung di hospital ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:00 AM