SITI bersama pelajar tahfiz. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


SETIAP kali menjelangnya Ramadan, tentu acara yang sentiasa dinantikan keluarga besar kelab peminat Sitizone adalah majlis berbuka dan sesi beramah mesra dengan bintang pujaan mereka, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Tahun ini, hampir 300 Sitizoners berkumpul menjayakan majlis berbuka puasa bersama bintang kesayangan mereka itu sekali gus menyaksikan sesi penganugerahan daripada pihak Universal Music Malaysia kepada Siti.

Bagi Siti, acara tahun ini nampaknya bertambah meriah dengan kehadiran ahli Sitizone yang lama dan baru.

“Alhamdulillah, tahun ini kita semua berpeluang berkumpul sekali lagi dan bersama-sama berbuka puasa. Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua yang bekerja keras untuk menjayakan acara ini.

“Tak lupa juga, saya ucapkan selamat datang kepada mereka yang baru menyertai keluarga besar Sitizone,” katanya.

Seawal jam 6 petang, peminat sudah mula memenuhi ruang Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ada antara mereka datang dari Indonesia, Singapura dan Brunei.

Tidak sekadar berbuka bersama, Siti turut menghiburkan semua yang hadir dengan lagu Mikraj Cinta bersama 10 peminat terpilih selain satu lagu raya untuk menambah ‘mood’ menjelang Aidilfitri.

Selain itu, ada juga segmen persembahan khas yang disediakan oleh Sitizoners menyampaikan lagu Cinta Syurga dan mengajak semua yang hadir turut serta menyanyikan lagu itu. Pada acara sama, Siti menerima beberapa anugerah khas sebagai tanda penghargaan daripada pihak Universal Music Malaysia yang sejak sekian lama bekerjasama dengannya.

PENGARAH Urusan Universal Music Malaysia, SIngapura dan Indochina, Kenny Ong menyampaikan anugerah kepada Siti.

Anugerah yang diterimanya adalah kategori single menerusi lagu Anta Permana dengan 11 kali Platinum, Comel Pipi Merah (empat kali Platinum), Cinta Syurga (Emas) dan Mikraj Cinta (Platinum).

Dalam kategori album pula, Siti menerima Anugerah Emas untuk album SimetriSiti.

Universal Music Malaysia turut menyerahkan anugerah Legend Award sebagai pengiktirafan untuk Jualan Fizikal dan Digital untuk album Fragmen, Unplugged dan SimetriSiti, Jualan Digital untuk single Anta Permana, Comel Pipi Merah, Cinta Syurga serta Mikraj Cinta.

Selain itu, Siti juga menerima Anugerah Khas atas kejayaannya menjadi Artis Tempatan dengan Penstriman Paling Banyak di Spotify pada 2017 dan 2018.

Bagi Siti, kejayaan itu satu penghargaan buat dirinya dan berharap ada kesan positif buat industri dan kerjaya seninya.

“Ini adalah hadiah yang sangat indah Ramadan ini apabila lagu hit saya meraih anugerah platinum. Ia menunjukkan sesuatu yang positif dalam penghasilan lagu dan kerjaya saya sejak kembali aktif selepas rehat berpantang,” katanya.

UMRAH BERSAMA AAFIYAH

Siti turut berkongsi rasa teruja bakal membawa puteri tunggalnya, Siti Aafiyah Khalid menunaikan umrah pada 23 Mei ini.

“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang saya akan tunaikan umrah bersama suami dan Aafiyah. Ini adalah doa saya sejak sebelum hamil lagi dan syukur Allah menjawab doa saya,” katanya.

Menurut Siti lagi, dia melakukan persiapan dan ingin bertanya kepada mereka yang berpengalaman membawa anak kecil ke Tanah Suci.

MEMBUAT persembahan bersama beberapa Sitizoners.

“Saya ada tengok Yatt (Hamzah) membawa anaknya ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah. Sedikit sebanyak, saya jadikan itu sebagai motivasi untuk saya jadi kuat membawa Aafiyah bersama.

“Insya-Allah, selain saya dan suami, ada saudara-mara serta kakak (pengasuh Aafiyah) akan ikut sekali. Jadi, kami akan bergilir-gilir untuk menjaganya.

“Sekarang pun, kalau bersolat saya akan biarkan Aafiyah tengok dan ada dekat dengan saya untuk biasakan dia. Cuma, di sana nanti jumlah orang yang berada di sana lebih ramai. Harapnya, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Selain itu, penyanyi lagu Anta Permana itu turut berkongsi rasa teruja untuk menyambut Aidilfitri kali kedua bersama puterinya.

“Sama seperti ibu lain, akan ada baju sedondon untuk saya dan Aafiyah. Mungkin dalam lima, enam pasang.

“Lebih seronok, dia sudah faham macam-macam benda dan sudah mula nak berjalan. Tentunya, tahun ini Aidilfitri akan lebih meriah dengan keletah Aafiyah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 6:00 AM