AWI Rafael. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

ENGGAN mengenang kisah lalu, komposer dan penyanyi Awi Rafael memilih untuk bersangka baik dengan takdir hidupnya.

Mengakui belum ada jodoh, Awi berkata, tidak perlu terus melayan rasa kecewa sebaliknya hadapilah hidup seperti biasa.

Menurut penyanyi lagu Asalkan Aku OK itu, dia lebih selesa bersikap positif dan muhasabah diri dengan apa yang berlaku.

Awi, 32, ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video lagu Seloka Hari Raya 2019 yang diberi nafas baru berkata, dugaan tidak jadi kahwin pada Mac lalu adalah ujian kecil.

“Memanglah sedih tak jadi kahwin tetapi saya sedar ada orang lain yang lebih besar dugaannya.

“Umpamanya, cabaran harus dilalui ibu bapa yang dikurniakan Allah zuriat istimewa autisme.

“Melihat cabaran dilalui keluarga anak autistik, saya kagum dengan kesabaran mereka.

“Bukan mudah menguruskan kanak-kanak istimewa berbanding masalah kecil saya yang tak jadi kahwin,” katanya.

Awi atau nama sebenarnya Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael berkata, dia kini giat melakukan aktiviti kemasyarakatan untuk golongan memerlukan.

“Mengikut penyelidikan yang saya lakukan, muzik sangat membantu terapi emosi kepada kanak-kanak autisme.

“Sekarang sudah tiba masanya mereka (kanak-kanak autisme) diberi pendedahan mempelajari dunia muzik yang sangat indah,” katanya.

Awi berkata, dia bersama rakan selebriti, Aiman Hakim Ridza bekerjasama memberi pendedahan muzik kepada golongan itu.

“Aiman ada mengusahakan kafe dikenali BakerFellas dan di dalamnya terdapat satu studio muzik untuk mengajar kanak-kanak autisme.

“Dikenali sebagai Newsantara Studio, saya menguruskannya dengan kerjasama Aiman dan beberapa rakan lain,” katanya.

Menurut anak jati kelahiran Singapura itu, mereka sudah menerima dua pelajar autisme dan jumlah itu dijangka bertambah dalam masa terdekat.

AWI Rafael. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Muncul dengan single baru

Meskipun aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, Awi akan muncul dengan single baharu.

Lagu berjudul Rahasiaku itu cukup istimewa di hatinya dan kerana itu ia menjadi pertaruhan terbaharu.

“Ramai tahu saya mencipta lagu Rahasiaku untuk majlis perkahwinan tetapi nak buat macam mana tiada jodoh.

“Memandangkan ia karya terbaik pernah saya hasilkan maka lebih bagus dilancarkan saja sebagai taruhan baru.

“Bagi saya, rugi sekiranya lagu sebagus ini disimpan hanya kerana insiden itu,” katanya.

Jelas Awi, kekecewaan dirasakannya tidak memerlukan dia mengorbankan karya terbaik yang dihasilkan ikhlas dari hati.

“Saya mengharapkan semoga lagu Rahasiaku akan diterima baik pendengar seterusnya mesra radio kerana melodi dan liriknya yang indah,” katanya.

Mengulas hubungan dengan bekas tunangnya iaitu pelakon Atikah Suhaimie, lelaki berjiwa cekal ini memberitahu mereka masih berkawan baik.

“Walaupun impian untuk hidup bersama tidak kesampaian, saya tidak menjadikan Atikah sebagai musuh dan Alhamdulillah hubungan kami baik.

“Bagi saya, apa yang sudah berlaku itu ketentuan takdir, maka sebagai manusia yang diuji saya perlu reda,” katanya.

Awi yang pernah popular dengan lagu Takdir Cinta berkata, dia dan Atikah selesa bersikap saling menghormati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 5:31 AM