Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


SEBANYAK 11,000 kotak membabitkan 1,000 kotak besar atau kotak keluarga dan 10,000 kotak individu akan diagihkan bermula 25 Mei menerusi program Harian Metro Kotak Rezeki sepanjang Ramadan ini.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein berkata, program berkenaan yang masuk kali keempat dianjurkan sejak 2016 adalah bagi menzahirkan keprihatinan Harian Metro dalam menjalankan tanggungjawab sosial sepanjang Ramadan ini.

“Menerusi program ini, sebanyak 1,000 kotak besar atau kotak keluarga diagihkan kepada 50 rumah rumah anak yatim dan asnaf serta keluarga miskin dan ia mengandungi barangan seperti beras, tepung, gula, minyak masak dan sebagainya.

“Sebanyak 10,000 lagi kotak rezeki individu mengandungi juadah ringkas seperti kurma, air dan biskut diedarkan kepada anggota awam yang tidak berkesempatan untuk berbuka seperti polis, bomba selain kakitangan lebuh raya,” katanya ketika berucap pada pelancaran Harian Metro Kotak Rezeki di Madrasah Tahfiz Raudatul Baiduri, Olak Lempit di Banting.


TUAN Asri (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Nazlee Khalifah (tiga kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim, asnaf serta keluarga miskin pada program Harian Metro Kotak Rezeki di Madrasah Tahfiz Raudatul Baiduri. FOTO Aswadi Alias

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi pengagihan Kotak Rezeki di negeri, ia akan melalui oleh wakil Harian Metro dengan antara tiga hingga lima rumah kebajikan sebagai penerima di setiap negeri.

Selain itu, katanya, program Harian Metro Kotak Rezeki turut mendapat kerjasama daripada Affin Islamic Bank Bhd selaku penaja utama selain syarikat pengeluar produk pati buah buahan, K.H.H Double Lion Fruit Juice Manufacturing Sdn Bhd dan pengeluar biskut tempatan, Julie’s.

Pada majlis itu, 117 anak yatim daripada lima rumah kebajikan dan pusat tahfiz turut diraikan dengan sumbangan duit raya.

Sumbangan turut disampaikan kepada rumah kebajikan dan pusat tahfiz termasuk Madrasah Tahfiz Raudatul Baiduri; Maahad Tahfiz Al Quran Al Islah; Pusat Jagaan Baitus Sakinah Wal Mahabbah; Rumah Anak Yatim Assolihin Kancong Darat dan Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah.


PENAJA bergambar bersama penerima sumbangan pada program Harian Metro Kotak Rezeki di Madrasah Tahfiz Raudatul Baiduri. FOTO Aswadi Alias

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 7:14 PM