SUSPEK utama dipercayai terbabit dengan pembunuhan Siti Kharina tiba di Mahkamah Majistret Sepang. FOTO Aizuddin Saad
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


LELAKI warga Nigeria ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin yang ditemui mati di sebuah kondominium di Cyberjaya, Rabu lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret A Akhiruddin@Boy Acho di Mahkamah Majistret Sepang, pagi ini.

Suspek utama berusia 30-an itu tiba di Kompleks Mahkamah Sepang jam 11.12 pagi sambil dikawal oleh anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Semalam, dua individu masing-masing lelaki Pakistan dan wanita Nigeria berusia 38 dan 35 tahun turut ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes sama.

Kedua-dua mereka ditahan awal pagi semalam di sekitar Kuala Lumpur.

Suspek warga Nigeria itu diberkas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Cheras Sentral kira-kira jam 3 petang semalam.

Mayat Siti Kharina yang dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu ditemui dalam sebuah unit kondominium di Cyberjaya, pada 2.30 petang Rabu lalu dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.

Mangsa dipercayai meninggal dunia sejak empat atau lima hari lalu dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Siti Kharina yang dikatakan sudah lima tahun bertugas Hospital Serdang dan tinggal berjauhan dengan suami serta tiga anak perempuannya yang masing-masing berusia antara 10 hingga 14 tahun.

Kehilangan Siti Kharina hanya disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubungi ahli keluarganya bertanya mengenai keadaannya apabila tidak pulang ke rumah dan melapor diri bertugas di tempat kerja.

Berita berkaitan

Tragedi jururawat [METROTV]

Jenazah Siti Kharina selamat dikebumi

Usah buat spekulasi pembunuhan jururawat

'Kami mahukan keadilan buat Siti Kharina'

Suspek kes bunuh jururawat ditahan

'Lelaki Nigeria diburu kes bunuh Siti Kharina [METROTV]'

'Siti Kharina dibunuh?'

'Henti sebar maklumat palsu kakak saya'

Masih tiada khabar dari Siti Kharina

'Bantu kami kesan kakak'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 11:44 AM