SUKARELAWAN Harian Metro membantu anak yatim memilih pakaian Aidilfitri di Pusat Pakaian Hari-Hari di Tanjung Malim.
Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my


PERSIAPAN Aidilfitri buat anak yatim, asnaf dan orang kurang upaya (OKU) kariah Kampung Balun, Slim River, dekat sini, dalam program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mendapat kerjasama Pusat Pakaian Hari-Hari di sini, Sabtu lalu.

Seramai 200 kanak-kanak dirai dan dibantu dalam membeli pelbagai kelengkapan hari raya itu, antaranya memilih baju Melayu, baju kurung, songkok, jubah, sampin dan macam-macam lagi di pasar raya terbabit.

Lebih bertuah apabila pusat pakaian itu turut menyumbang RM10,000 dalam bentuk baucar untuk bersama TKHM bagi meraikan anak yatim dan asnaf merasai kemeriahan Aidilfitri.

Selain membeli-belah, setiap seorang kanak-kanak terbabit turut menerima duit raya RM200 dan beg galas yang boleh digunakan ke sekolah nanti.


Menurut penduduk Kampung Balun, Ahmad Zahari Abd Khatib, 63, berkata, program TKHM bersama PLUS membuatnya menarik nafas lega tahun ini kerana tidak perlu risau lagi persiapan hari raya untuk anaknya yang terpilih mendapat sumbangan dalam program berkenaan.

Katanya, pada awalnya dia menjangka anaknya hanya diberi sumbangan membeli pakaian raya saja, tetapi terkejut dan bersyukur apabila mereka juga menerima duit raya.

“Saya juga dimaklumakan Pusat Pakaian Hari-Hari turut menyumbang dalam program ini dan sumbangan ini menunjukkan pusat pakaian itu juga perihatin dan sudi berkongsi rezeki untuk menggembirakan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Harian Metro dan PLUS serta semua pihak atau penyumbang yang terbabit dalam menjayakan program yang murni ini,” katanya.


SEBAHAGIAN anak yatim yang membeli pakaian Aidilfitri di Pusat Pakaian Hari-Hari di Tanjung Malim sempena program TKHM bersama PLUS di Kampung Balun, Slim River.

Seorang lagi penduduk, Mohd Adnan Husin, 68, berkata, ramai ibu bapa golongan asnaf dan penjaga terharu dan gembira dapat berkongsi manafaat melalui program TKHM yang julung kali diadakan di Kampung Balun.

“Kami bertuah serta bersyukur dan berterima kasih apabila kampung ini terpilih sebagai lokasi pertama TKHM tahun ini yang mendapat kerjasama PLUS dan beberapa penaja lain.

“Betapa untungnya anak yatim, asnaf dan OKU di kariah ini kerana mereka bukan saja dapat membeli pakaian baru, tetapi turut menerima duit raya yang boleh digunakan sebagai perbelanjaan sekolah nanti,” katanya yang berharap TKHM diteruskan agar golongan kurang bernasib baik di kawasan lain turut merasai manafaat penganjurannya.

Mohd Adnan juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Masjid Kampung Balun dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang berjaya berganding bahu menjayakan TKHM dengan meriah dan meninggalkan kenangan indah buat penduduk Kampung Balun.

TKHM turut mendapat sokongan daripada Bernas, Dapur Penyet dan Honda Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:10 AM