Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“ADA masa, kami tidak sempat berbuka puasa kerana menguruskan pesakit yang sentiasa menjadi keutamaan,” kata jururawat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Norhasnalinda Mohd Aini, 38.

Norhasnalinda berkata, pengalaman berbuka di wad hospital dirasainya sejak mula berkhidmat sebagai jururawat 16 tahun lalu dan sudah lali dengan keadaan itu.

Meskipun waktu berbuka puasa di wad agak terhad dan tidak menentu, Norhasnalinda menganggap pengalaman itu menyeronokkan kerana bukan semua individu berpeluang merasainya.

“Sejak tahun pertama lagi saya sudah merasai pengalaman berbuka di wad, tetapi bukan setiap hari sebaliknya hanya ketika bekerja pada syif petang dan malam saja.

“Ada ketikanya, pesakit tenat jadi saya dan jururawat lain perlu menangguhkan niat untuk berbuka demi mendahulukan mereka.

“Namun jika ada sedikit kelapangan, saya dan jururawat lain akan berbuka puasa bersama di pantri, tetapi itu pun tidak lama kerana terikat dengan komitmen kerja,” katanya.


JURURAWAT berbuka puasa secara bergilir demi tugas di wad PPUM.

Sementara itu, Ketua Jururawat, Khairul Nadiah Ismail, 33, berkata, sudah menjadi kebiasaan untuk mereka bergilir-gilir menjamah makanan pada waktu berbuka.

Katanya, mereka tidak dapat berbuka puasa serentak kerana perlu ada kakitangan yang memantau keadaan pesakit.

“Kami akan makan bergilir-gilir dan jika ada kakitangan bukan Muslim, mereka sendiri menawarkan diri untuk memantau pesakit kerana mahu memberi ruang untuk berbuka puasa.

“Begitu juga keluarga pesakit yang turut bertimbang rasa jadi tiada masalah. Lagipun kami sudah biasa bukan hanya waktu berbuka puasa, tetapi sahur juga di wad,” katanya.

Manakala, Norsyafiqah Mohd Zaid, 22, yang baru sebulan berkhidmat sebagai jururawat di PPUM teruja kerana dapat merasai lagi pengalaman berbuka puasa di wad.

“Ikutkan, ini bukan tahun pertama saya berbuka puasa di wad kerana pernah merasai pengalaman sama ketika menjalani latihan industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:05 AM