EFFENDI JAGAN ABDULLAH
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


BUDAYA ‘mencuri’ pemain menerusi pintu belakang kembali menular dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) sejak dibuka pada 2 Mei lalu, didalangi segelintir jurulatih import dan pegawai pasukan.

Ejen berdaftar, Effendi Jagan Abdullah yang mengakui kecewa dengan sikap individu terbabit berkata, mereka cuba melakukan unsur ‘curi’ atau ‘tapping’ tanpa pengetahuan ejen atau pasukan asal pemain.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd itu berkata, seorang pemain di bawah pengurusannya mengadu cuba dirisik oleh jurulatih import dan pegawai pasukan berkenaan secara senyap.

Katanya, tindakan tidak profesional pengendali itu amat mengecewakannya, malah ia juga salah dari segi peraturan yang digariskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan boleh dikenakan hukuman berat jika sabit kesalahan.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu jurulatih dan pegawai berkenaan cuba membuat rundingan tanpa pengetahuan saya (ejen berdaftar) dan yang paling penting adalah pasukan asal pemain itu.

“Padahal, sebelum liga bermula pada Januari lalu, saya pernah membawa pemain itu kepada jurulatih berkenaan, namun beliau menolak secara baik atas alasan tiada bajet.

“Sekarang pemain itu dah beraksi dengan pasukan lain, jadi tak elok kacau pemain yang sudah memiliki kontrak dan hubungi secara terus tanpa pengetahuan pasukan atau ejen,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Jelasnya, setiap individu yang berada dalam sistem bola sepak mempunyai hak dan peraturan yang perlu diikuti oleh semua pihak.

“Jangan ingat pemain dan jurulatih saja ada dalam sistem bola sepak. ‘Kitman’ juga ada dalam sistem bola sepak, ejen berdaftar juga ada dalam sistem bola sepak.

“Kegagalan mengikut sistem yang betul, menandakan bahawa bola sepak kita juga akan gagal. Jadi untuk berjaya, kita kena ikut sistem yang sudah dibuat oleh FIFA,” katanya.

Beliau turut menyeru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memantau lebih dekat pasukan dan pegawai mereka yang masih berurusan dengan ejen tidak berdaftar.

“Ada juga pasukan yang guna ejen tidak berdaftar dengan FAM. Sepatutnya mereka tak boleh buat begitu kerana kami (ejen berdaftar) bayar yuran dan ikut segala proses dokumentasi dengan cara yang betul,” katanya.

Pada Januari lalu, FAM mewajibkan kepada 24 pasukan Liga Malaysia supaya berurusan dengan ejen yang berdaftar bagi memudahkan proses pendaftaran pemain serta mengatasi isu lambakan ejen haram.

Arahan itu dimaklumkan kepada semua pasukan bertanding ketika taklimat bersama Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berlangsung di Johor Bharu pada 3 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:01 AM