DR Ahmad Hafizam ketika hadir di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir.
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


PAKAR Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi memaklumkan perusuh yang didakwa menarik keluar anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) berkemungkinan mengalami nasib sama dengan mangsa.

Saksi ke-24 itu berkata, ini berikutan si pelaku dan mangsa berada di bahagian kiri van EMRS atau dikategorikan sebagai zon bahaya dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Saksi yang dipanggil semula memberikan keterangan di Mahkamah Koroner Shah Alam itu tidak bersetuju teori dikemukakan saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid iaitu Muhammad Adib ditarik oleh perusuh.

“Kalau dicadangkan Prof Shahrom, (pelaku menarik mangsa), mungkin akan ada dua post mortem (bedah siasat).

“Ini kerana, si pelaku dan mangsa (Muhammad Adib) terdedah kepada bahaya yang boleh mendatangkan kecederaan serta boleh menyebabkan kematian,” katanya katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin pada prosiding inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib yang memasuki hari ke-33 di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Mengulas lanjut, saksi itu berkata, pelaku dan Muhammad Adib terdedah dengan kecederaan besar hingga boleh mengakibatkan kematian.

“Jika perkara ini berlaku, penarik atau penyerang (si pelaku) Muhammad Adib dalam bahaya dan boleh mendapat kecederaan.

“Pegawai penyiasat polis memaklumkan tiada orang lain mengalami kecederaan itu pada hari kejadian itu,” katanya.

Menurut individu yang bertanggungjawab melakukan bedah siasat terhadap Muhammad Adib itu, teori Prof Shahrom tidak berpadanan dengan cedera dan corak kecederaan ditemui dalam pemeriksaan klinikal forensik dan bedah siasat.

Muhammad Adib yang juga anggota van EMRS BBP Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di IJN.

Prosiding inkues bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 6:25 PM