GAMBAR HIASAN
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


JIKA pemain Terengganu City FC (TCFC) didakwa menerima ugutan dan ancaman, lain pula situasi yang berlaku terhadap pemain Hanelang FC apabila mereka diarah untuk ‘mengatur’ perlawanan.

Perkara itu terjadi pada awal April 2018 dan masih segar dalam ingatan semua bekas pemain pasukan terbabit apabila wakil kepada penaja mereka yang turut bertindak sebagai pengurus, memasuki bilik persalinan selepas tamat babak pertama perlawanan menentang TCFC.

Seorang bekas pemain Hanelang FC yang dikenali sebagai Mansor berkata, ketika kejadian pasukannya sedang mendahului TCFC 1-0, sekali gus melonjakkan lagi semangat mereka untuk menundukkan TCFC yang lebih senior.

Katanya, TCFC ketika itu belum pernah tewas dengan mana-mana pasukan dalam saingan Liga FAM menyebabkan wakil penaja mereka meminta supaya rekod itu tidak dicalarkan.

“Bayangkan ketika itu kami bersemangat apabila sedang mendahului 1-0, namun secara tiba-tiba datang seorang individu wakil kepada penaja meminta supaya kami tewas.

“Individu berkenaan datang ke bilik persalinan dan meminta maaf selain mendakwa itu adalah arahan daripada pihak atasan yang perlu dipatuhi. Individu berkenaan bagaimanapun tidak mengugut atau mengancam, tapi jika kami ingkar, mungkin gaji kami tidak akan dibayar.

“Ketika itu saya agak berang kerana kami berhempas pulas mahu menang, namun individu itu dengan mudah meminta supaya kami kalah,” katanya, ketika dihubungi, Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan sekurang-kurangnya tiga individu yang layak digelar ‘penyamun’ dan sudah dikenal pasti FAM sebagai punca kerosakan yang berlaku terhadap empat kelab yang tidak lagi beraksi iaitu Marcerra United, Kuantan FA, Hanelang dan Terengganu City FC hingga menyebabkan bekas pemain serta barisan kejurulatihan terpaksa menanggung akibatnya.

Setakat ini, individu berkenaan yang masih lagi bebas daripada sebarang tindakan, bertanggungjawab terhadap hampir RM5 juta keseluruhan tunggakan gaji membabitkan pemain dan barisan kejurulatihan sejak tiga tahun lalu.

Namun, kekangan yang dihadapi FAM yang bersungguh mahu menyelesaikan masalah berkenaan terbantut apabila bekas pemain empat kelab terbabit enggan membongkar identiti individu berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain Hanelang FC yang dikenali sebagai Sulaiman berkata, mereka enggan melayani permintaan individu berkenaan seterusnya perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.

“Pada malam selepas perlawanan itu, saya dihubungi oleh individu tidak dikenali dan dia bertanya sama ada saya memilih maruah atau karier.

“Saya memilih maruah dan akibatnya saya tidak menerima gaji selama tiga bulan sebelum mengambil keputusan menamatkan kontrak bersama pasukan terbabit,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pemain seharusnya membuat laporan kepada badan induk berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Atur perlawanan adalah kesalahan besar dan jika ada bukti FAM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan kepada individu berkenaan.
Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana boleh menjejaskan kredibiliti bola sepak tanah air dan berharap pemain boleh memberikan kerjasama kepada FAM untuk menyelesaikannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 6:00 AM