Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


PROGRAM Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) adalah contoh apa dimaksudkan pada slogan Harian Metro (HM) ‘Rasai berita sebenar’.

Melalui program ini, warga HM mendekati masyarakat terutama golongan tidak berkemampuan untuk merasai denyut nadi mereka, sekali gus membantu apa yang diperlukan.

Pengarang Kumpulan HM, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein berkata, TKHM kini memasuki siri atau tahun ke-12 penganjurannya dan tahun ini mendapat kerjasama daripada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menjadi penaja utama.

“Program kali ini adalah sempena ulang tahun ke-28 HM yang disambut pada 25 Mac lalu dan pada sambutan tahun ini, kita menukar slogan.

“Sebelum ini slogan HM adalah ‘Sensasi terkini’, namun tahun ini ditukar kepada ‘Rasai berita sebenar’,” katanya ketika berucap di program TKHM bersama PLUS di Kampung Balun, Slim River, hari ini.


TUAN Mohd Asri dan Azman (duduk tengah) bergambar bersama penerima sumbangan pakaian hari raya sempena program TKHM bersama PLUS Surau Tinggi Kampung Balun, Slim River, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Hadir sama, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail; Pengarang Eksekutif Komersial HM merangkap Pengerusi Penganjur TKHM 2019, Husain Jahit; Ketua Bahagian Sumber Manusia PLUS, Norma Mohd Razalli; Ketua Bahagian Korporat Komuniti dan Perhubungan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid serta sukarelawan PLUS dan HM.

Tuan Mohd Asri berkata, slogan itu menggambarkan apa dilakukan warga HM terutama wartawannya selama 28 tahun ini dalam menyampaikan berita kepada masyarakat iaitu berita sebenar.

“Saya rasa pihak PLUS dapat menghayati slogan kami apabila menyertai TKHM kali ini apabila kami mendekati masyarakat untuk mengetahui apa sebenar mereka perlukan.

“Terima kasih pada PLUS kerana sudi menjadi penaja utama TKHM dan penaja lain termasuk Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan Dapur Penyet selain penduduk Kampung Balun yang memberi ruang untuk program ini dijayakan,” katanya.

Sementara itu, Azman dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pihak HM kerana memberi peluang menyertai program dalam mendekati masyarakat.


TUAN Mohd Asri (tiga dari kanan) bersama Azman (dua dari kanan) menyampaikan duit raya dan sumbangan pakaian hari raya sempena program TKHM bersama PLUS di Surau Tinggi Kampung Balun, Slim River, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

“Ini kali pertama PLUS mengadakan program bersama TKHM dan sebelum saya menyertai PLUS, saya sudah merasai keberkesanan program ini.

“Saya kagum dan yakin dengan keberkesanan program ini selari dengan strategi PLUS apabila kami ingin memberi fokus lebih khusus kepada masyarakat terletak berhampiran jajaran lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Kampung Balun amat bersesuaian dan bagi program TKHM ini, PLUS memperuntukkan sebanyak RM440,000 membabitkan RM140,000 untuk menjayakan TKHM dan RM300,000 lagi daripada Tabung Zakat Syarikat PLUS yang turut diagihkan melalui program di Slim River, Perak, hari ini dan Kulim, Kedah pada 25 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 8:48 PM