Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@nstp.com.my


PERSIMPANGAN bertingkat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Jalan Taming Sari, Melaka kini berubah wajah apabila papan iklan gergasi lama yang diarah diturunkan berganti baharu dengan perkataan ‘Semoga Berjumpa Lagi, Bye Bye!’.

Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Mansor Sudin berkata, pemasangan papan iklan baharu itu dilakukan 11 malam tadi berikutan arahan dikeluarkan kepada syarikat pengeluar makanan ringan untuk menurunkan papan iklan lama dengan paparan perkataan KTHXBYE.

“Penukaran itu dibuat malam tadi bagi mengelakkan kesesakan trafik.

“Bagi perkataan ‘Bye Bye’, perkataan itu adalah penggunaan universal dan diterima oleh semua lapisan masyarakat seperti ‘helo’. Jadi, kita tiada halangan untuk menggunakan perkataan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya melalui Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sentiasa memantau kelulusan bagi pengiklanan dalam Bahasa Melayu selain tidak bertentangan dengan norma budaya masyarakat.

“Justeru, bagi pihak tertentu yang mahu menaikkan iklan, perlu mendapatkan kelulusan MBMB, jika tidak ia menjadi kesalahan melakukan tindakan itu tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau turut mengesahkan, syarikat pengeluar makanan ringan itu sebelum ini tidak mendapat kelulusan mengenai penggunaan perkataan singkatan Bahasa Inggeris, KTHXBYE di papan iklan itu sehingga diberi arahan menurunkannya.

Terdahulu, dua keping gambar memaparkan penggunaan perkataan KTHXBYE dan maskot kartun pada papan iklan syarikat pengeluar makanan ringan di persimpangan bertingkat yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini itu, tular di laman Facebook.

Penggunaan istilah ‘KTHXBYE’ itu dipercayai bermaksud ‘ok thanks bye’ sebagai ucapan selamat jalan kepada pengguna jalan raya khususnya pelancong yang pulang selepas berkunjung ke Melaka.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat kecaman netizen dan meninggalkan komen antaranya bahasa itu hanya difahami pengguna ‘WeChat’, yang didakwa merosakkan bahasa kebangsaan.

Berita berkaitan

MBMB arah turun papan iklan 'KTHXBYE'

Turunkan papan tanda 'KTHXBYE' serta-merta [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 4:15 PM
PAPAN iklan ditukar kepada Semoga Berjumpa Lagi, Bye Bye! di jejantas laluan utama Lebuh AMJ berhampiran Masjid Al-Azim. FOTO Rasul Azli Samad