GAMBAR hiasan
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


LIMA pemancing dikhuatiri lemas, manakala tiga rakan mereka berjaya diselamatkan selepas bot yang mereka naiki karam di kawasan perairan Pulau Tenggol di Dungun, malam tadi.

Bot terbabit dipercayai karam akibat dibadai ribut kencang sebelum kejadian itu disedari bot nelayan, 9.30 malam.

Difahamkan, bot nelayan terbabit berpengkalan di Kuantan dan dikatakan ternampak insiden berkenaan lalu bergegas ke lokasi kejadian.

Tindakan pantas itu berjaya menyelamatkan tiga pemancing terbabit.

Seorang nelayan yang memberi bantuan itu kemudian bertindak menghubungi rakannya di Kuantan melalui ‘walkie-talkie’ dan memintanya melaporkan kejadian itu kepada polis.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) lima pemancing terbabit.

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, sebuah bot kilat dengan enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 batu nautika dari Kuala Dungun.

Menurutnya, bot kilat itu keluar dari Jeti Maritim Kuala Kemaman 11.45 malam sebaik menerima laporan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun.

"Kita dimaklumkan seramai lapan pemancing berada di dalam bot itu dan tiga daripadanya berjaya diselamatkan sebuah bot nelayan yang berada di tempat kejadian.

"Ketika ini, operasi SAR mangsa sedang dijalankan di sekitar lokasi kejadian.

“Kita juga sedang mengumpul maklumat termasuk nama dan alamat semua mangsa termasuk mereka yang selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 8:26 AM