FASHA dan Amelina mempunyai hubungan yang baik.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


BERPELUANGmengadakan konsert sebelum ketibaan Ramadan dianggap satu rahmat buat penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Dangdut, Norazlina Amir Sharipuddin atau Amelina.

Tambahan pula sebagai penyanyi yang sudah menghilang di persada industri muzik tempatan dalam tempoh agak lama, apabila ada pihak memberikan kepercayaan untuk mengadakan konsert, ia memberikan keyakinan kepada Amelina bahawa keputusan diambil untuk kembali menyanyi adalah tepat.

Amelina berpeluang menghiburkan peminatnya pada konsert KL Jam yang dianjurkan Music Unlimited International Sdn Bhd di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini.

Ketika ditemui, kata Amelina, dia sangat terharu dengan kepercayaan diberikan pihak penganjur untuk dia mengadakan konsert solo.

“Sebelum ini jujur cakap saya berasa kurang yakin apabila kembali menyanyi, walaupun sebelum ini penerimaan peminat terhadap saya agak baik.

“Membabitkan diri dalam program realiti Gegar Vaganza musim kelima, ia menjadi medan untuk saya mengasah semula kemampuan menghiburkan penonton di samping membina keyakinan diri.

“Bagaimanapun, mengadakan persembahan di konsert solo membuatkan diri saya kini benar-benar yakin, lebih-lebih lagi apabila melihat wajah yang menyokong saya pada awal pembabitan dalam bidang nyanyian turut hadir menyaksikan persembahan,” katanya.

Katanya, banyak perubahan yang dia sendiri dapat rasakan apabila berpeluang mengadakan persembahan di atas pentas yang besar dan gah dengan jumlah penonton ramai.

“Memandangkan konsert berlangsung pada jam 3 petang, saya memang merancang untuk mengadakan persembahan secara santai di mana saya mahu beramah mesra dengan peminat yang sanggup mengeluarkan sejumlah wang membeli tiket untuk menyaksikan persembahan,” katanya.

Sepanjang satu jam setengah persembahan berlangsung, Amelina cuba sebaik mungkin beramah mesra dengan penonton yang hadir dengan mengajak mereka berada di atas pentas dan menari bersama-sama.

Lebih menarik pada hari konsert berlangsung turut hadir menyaksikan persembahan Amelina adalah pelakon popular Fasha Sandha yang juga peminat setia penyanyi yang cukup popular dengan lagu Asyik, Rindu dan Yang Indah Yang Hangat itu.

“Saya dengan Fasha memang mempunyai hubungan baik memandangkan kami turut bernaung di bawah syarikat pengurusan sama. Saya tahu Fasha minat dengan lagu yang didendangkan, tapi saya tak sangka rupa-rupanya dia meminati saya sejak kecil lagi,” katanya.

Malah katanya, dia sangat terharu apabila Fasha turut bersama-sama dengan peminat lain berada di atas pentas itu untuk menyanyi dan menari.

“Fasha hadir ditemani keluarganya dengan membeli sendiri tiket untuk menyaksikan konsert saya. Apa yang dilakukan itu benar-benar buat saya terharu.

“Peminat seperti Fasha yang memberikan saya kekuatan untuk terus berjuang dalam industri muzik dan menghiburkan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 5:30 AM