JAMALUDIN (kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TELENOR, Sigve Brekke pada sesi taklimat media di Le Meridien Hotel. FOTO: Saifullizan Tamad
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


AXIATA Group Berhad (Axiata) dan Telenor ASA (Telenor) kini dalam rundingan untuk bergabung bagi mewujudkan entiti baharu bertaraf dunia (MergedCo) yang akan menjadikannya sebagai syarikat telekomunikasi terbesar di rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Bagaimanapun, penggabungan itu masih belum dimuktamadkan dan nama baharu bagi MergedCo masih belum dibincangkan oleh dua pihak itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, syarikat bakal melakar sejarah baharu dan penggabungan mega setara yang dicadangkan itu bakal melahirkan jaguh global yang akan beribu pejabat di Malaysia.

Beliau berkata, penggabungan mega itu juga dijangka menghasilkan pendapatan proforma bernilai kira-kira RM50 bilion dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM20 bilion.

Menurutnya, penyatuan itu juga akan menyaksikan pegangan dalam beberapa buah syarikat operasi di sembilan buah negara dengan kira-kira satu bilion penduduk dan 300 juta pelanggan serta kombinasi dinamik merangkumi kemahiran, pengalaman dan pengetahuan oleh dua syarikat itu.

"Dengan memanfaatkan sinergi gabungan aset, organisasi, bakat, amalan terbaik, skala dan kekuatan kewangan, kami akan menjadi pengendali telekomunikasi terbesar di rantau ini.

"Malah, kami juga akan menjadi pengendali telekomunikasi mudah alih terbesar di Malaysia, syarikat menara terbesar dunia dan pusat inovasi terbesar di rantau ini.

"Dengan entiti yang bakal digabungkan itu, kami akan terus maju ke depan kepada Axiata 4.0 dan turut serta dalam momentum global bagi Industri 4.0 serta terbabit dalam jalur lebar, digital, 5G, Internet Kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian lain," katanya pada sidang media mengenai penggabungan mega dua syarikat itu di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Jamaludin berkata, MergedCo juga akan digabungkan itu akan secara aktif menyokong aspirasi kerajaan dalam menarik organisasi bertaraf dunia serta memimpin bagi memajukan inovasi dan pembangunan kepada bakat tempatan serta global.

"Penggabungan baharu ini juga bakal menggabungkan Celcom Axiata Berhad dan Digi.com Berhad yang seterusnya mewujudkan pengendali telekomunikasi mudah alih terbesar di Malaysia.

"Mungkin terdapat laluan berliku sebelum usaha niaga ini dimuktamadkan, namun kami teruja kerana penyatuan ini bakal melakar sejarah untuk sektor telekomunikasi di Asia dan dunia korporat tempatan," katanya. Selain itu, dua syarikat itu turut menyatakan hasrat untuk menyenaraikan MergedCo di Bursa Malaysia dan satu lagi pasaran saham utama antarabangsa dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kewujudan MergedCo akan membabitkan pemberhentian pekerja, Jamaludin berkata, tidak akan ada sebarang isu pemberhentian pekerja sebaliknya kakitangan yang mempunyai pertindihan tugas akan ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS).

Katanya, ia adalah sukarela dan jika berlaku pertindihan tugas kakitangan yang terbabit akan dilatih untuk kemahiran lain yang bersesuaian.

Kedua-dua syarikat itu mempunyai operasi di Malaysia, Thailand, Myanmar, Bangladesh dan Pakistan dengan Axiata juga turut beroperasi di India, Sri Lanka, Nepal, Kemboja dan Indonesia yang mana syarikat dari Norway itu tidak memiliki kehadiran di negara terbabit.

Ends

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 6:37 PM