PERANGKAP yang dipasang penjenayah.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Ancaman nyawa oleh pemburu haram Vietnam menyebabkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) menubuhkan pasukan elit bagi berdepan penjenayah rimba itu.

Pasukan khas digelar Pasukan Taktikal Khas PERHILITAN (SPARTA) itu dianggotai anggota PERHILITAN yang berkemahiran tinggi dan lengkap bersenjata bagi membanteras pencerobohan taman negara kerana turut dikesan membawa bahan letupan dan senjata api.

Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Dr Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pasukan khas itu mempunyai kebolehan luar biasa bagi menjejaki dan mengesan lokasi pemburu haram di dalam hutan.

Menurutnya, anggota pasukan itu dilatih secara khas serta mempunyai keberanian tinggi selain taktik khusus bagi berhadapan pemburu ganas di rimba.

“Walaupun pasukan ini baru ditubuhkan, namun mereka diberikan latihan mencukupi terutama dari segi taktikal. Kumpulan ini turut bekerjasama dengan pasukan keselamatan seperti polis dan tentera bagi membantu serbuan.

“Bagi memastikan kegiatan pemburu haram Vietnam ini ditumpaskan, rondaan lebih kerap dan berskala dilakukan di kawasan ‘hotspot’,” katanya.

Menurutnya, penceroboh warga asing di rimba mula dikesan hasil penahanan empat warga Thailand di Taman Negara Pahang pada 2002 diikuti dengan tangkapan warga Kemboja dan Vietnam pada 2005.

“Sejak akhir-akhir ini, warga Indonesia juga terbabit dalam kegiatan pencerobohan taman negara apabila mereka turut ditangkap pada 2017 lalu.

“Antara 2002 hingga 2016, penceroboh warga asing dalam taman negara lebih tertumpu kepada kegiatan mencuri kayu gaharu. Mereka memasang jerat hanya untuk menambah bekalan makanan mereka.

“Namun bermula 2016 hingga sekarang, trend penceroboh warga Vietnam berubah. Mereka tidak lagi mencari kayu gaharu, sebaliknya fokus kepada menjerat hidupan liar sahaja. Ini kerana hasilnya yang lumayan dan kerja lebih mudah berbanding mencari kayu gaharu,” katanya.


ANTARA jerat dawai yang dirampas.

Abdul Kadir berkata, kegiatan pemburuan haram ini perlu dibanteras berikutan ia jelas memberi ancaman kepada anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas, hidupan liar yang mendiami hutan dan alam sekitar.

“Berdasarkan siasatan, pemburu warga asing gemar memasang jerat sembat selain jerat pelantik menggunakan dawai kabel yang boleh mencederakan kaki.

“Malah, mereka turut dikesan memasang jerat lembing dan peledak (bahan letupan) yang pasti membawa kematian. Sikap tamak mereka jelas boleh menyebabkan kepupusan populasi hidupan liar negara kita,” katanya.

Menurutnya, golongan pemburu itu cuba menjerat seberapa banyak hidupan liar untuk diseludup keluar.

Menteri Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) Dr A. Xavier Jayakumar sebelum ini memberitahu pihaknya memberi tumpuan untuk menyelamatkan harimau Malaya dengan melancarkan Kempen Selamatkan Harimau Malaya, selama dua tahun bagi meningkatkan jumlahnya, yang kini diancam kepupusan iaitu kurang daripada 200 ekor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 6:00 AM