PERTARUHAN Estranged terhadap lagu Mau tidak hilangkan identiti kumpulan itu. FOTO: Asyraf Hamzah
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


KUMPULAN ini tidak perlu diperkenalkan secara terperinci pada umum. Sebut saja judul lagu Itu Kamu dan Aurora, pastinya semua dapat membayangkan jenis genre lagu yang dibawakan Estranged.

Dianggotai Rich Gimbang selaku vokalis, Nor Hanafi (gitar utama) dan Din Hormatov (gitar), Estranged lebih sinonim dengan muzik rock sejak mula ditubuhkan.

Namun, kali ini mereka berubah ‘angin’ apabila menyelitkan muzik dangdut dalam lagu baru berjudul Mau.

Selepas tampil duet dengan Fazura menerusi lagu Hancur Aku, Estranged sekali lagi mencari kelainan dengan menjalinkan kerjasama dengan penyanyi Indonesia iaitu Jenita Janet.

Menurut Rich, walaupun genre kali ini jauh menyimpang daripada apa yang pernah dipersembahkan sebelum ini, identiti muzik Estranged masih kedengaran.

“Kami sudah lama rakamkan lagu ini tetapi buat keputusan untuk lancarkan pada masa yang tepat. Memang Mau agak berbeza dengan Itu Kamu dan Aurora kerana kami cuba bawakan lagu yang ada elemen dangdut.

“Untuk masukkan bunyian dangdut itu juga memakan masa kerana bukan mudah menggabungkan genre kebiasaan kami dengan rentak lagu sebegitu. Apa pun, identiti Estranged tidak akan hilang walaupun membawakan apa saja genre muzik,” katanya.

Mempertaruhkan muzik yang lebih santai untuk Mau, Rich bagaimanapun menegaskan bahawa genre sebegitu hanya untuk projek sahaja. Untuk lagu solo Estranged sendiri, mereka masih lagi dengan pop rock atau alternatif rock.

Rich tidak mahu peminat keliru dan menganggap Estranged membawakan aliran muzik berbeza hanya kerana ingin mengikut genre terkini yang menjadi pilihan pendengar.

“Untuk lagu Estranged, kami masih lagi dengan genre yang sama. Cuma, apabila bercakap mengenai projek, kami juga ingin meneroka genre lain digabungkan dengan identiti yang kami bawakan.

“Kami turut membuat kajian bagaimana mahu memasukkan lagu rakyat khas untuk pendengar luar bandar dan dalam masa sama masih mempunyai ciri muzik terkini,” katanya.

Bercerita mengenai Mau, Rich berkata, pemilihan perkataan yang tidak menggunakan bahasa baku mungkin menjadi pertikaian segelintir pendengar. Malah, judul itu juga kedengaran sedikit seperti bahasa Indonesia.

Menjelaskan perkara itu, Rich berkata, dia sengaja memilih ejaan seperti itu dan bukannya ‘Mahu’ kerana tidak mahu terlalu formal.

“Kenapa Mau dan bukan Mahu? Saya inginkan judul itu kedengaran sedikit ‘street’ kerana kita sehari-hari pun akan guna perkataan Mau dan bukannya menggunakan bahasa baku. Saya mahu lagu itu dekat dengan masyarakat.

“Mau sebenarnya tidak hanya terikat pada percintaan tetapi untuk semua jenis hubungan iaitu apa yang kita mahu daripada seseorang itu dan apa yang kita mahu daripada diri sendiri. Bagaimanapun, fokus utama kami adalah supaya pendengar ‘enjoy’ ketika mendengar lagu itu,” katanya.


LAGU Mau nyanyian Estranged dan Jenita Janet di Drum Asia Studio.

SIBUK CARI DANA

Selain sibuk dengan promosi lagu baru, Estranged juga sibuk dengan persembahan untuk mengumpul dana bagi membantu pembinaan projek menyediakan kemudahan bekalan elektrik untuk beberapa kampung di kawasan pedalaman Sabah.

Setakat ini, mereka berjaya membantu dua buah kampung iaitu Kampung Sungai Taubang dan Kampung Kieyip di Ranau.

Memperuntukkan kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada hasil royalti serta hasil jualan barangan cenderahati sepenuhnya disalurkan ke dana itu, Rich berkata, selebriti lain sudah lama menjalankan tanggungjawab sosial korporat seperti mereka.

“Ini bukan benda baru. Kalau kita lihat selebriti luar negara, mereka sudah lama membuat perkara seperti ini. Malah, selebriti Malaysia juga ramai yang terbabit dengan usaha membantu golongan yang memerlukan.

“Kami pun sudah lama menyimpan niat untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik tetapi tidak tahu caranya. Sekarang syarikat pengurusan turut membantu dan kami lebih faham proses itu bagaimana,” katanya.

Dalam pada itu, Estranged turut mengalu-alukan mana-mana individu yang ingin menyumbang supaya berbuat demikian.

Melihat sendiri keadaan kampung di pedalaman Sabah membuatkan mereka gigih mencari dana berkongsi kemudahan buat penduduk.

“Mereka menggunakan ‘generator’ untuk hasilkan tenaga elektrik tetapi ia menggunakan petrol dan perjalanan ke pekan untuk membelinya mengambil masa kerana jarak yang jauh. Malah, ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang menjual petrol dengan harga yang tinggi.

“Penduduk kampung itu sudah cukup bersyukur jika perbelanjaan harian mereka dapat dikurangkan kerana hidro elektrik menggunakan arus sungai. Adalah ruang untuk berjimat lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 6:30 AM