ALLAHYARHAM Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz.
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Pemergian tokoh agama terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, terus menyentuh perasaan rakyat negara ini khususnya mereka yang mengenali Allahyarham secara peribadi.

Pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew turut berkongsi kesedihan itu dan terus mengingati pesanan bekas Penasihat Agama Istana Negara itu setiap kali beliau hadir kuliah subuhnya.

“Saya banyak kali hadir kuliah arwah kerana kediamannya dekat dengan rumah mentua saya.

“Sejak muda saya ikuti kuliah dan pernah bekerjasasama dalam program ceramah.

“Sehingga saat akhir arwah berceramah dan memberi nasihat. Ada satu hajat dan nasihat almarhum Ustaz Hassan Din Al Hafiz dan begitu juga Almarhum Tuan Guru Harun Din (Datuk Dr Haron Din).

“Kedua-duanya mahu penyatuan Muslim dan menyayangi Islam serta membangunkan agama bersama.

“Bila kita kuat, bersatu dan berakhlak mulia menjadi asbab hidayah buat semua manusia. Terlalu baik orangnya. Ya Allah,” tulisnya menerusi laman Instagram.

Menurut Ebit, kehilangan Abu Hassan menandakan kehilangan orang alim yang banyak berjuang dan berkorban dalam Islam.

“Tinggallah orang berdosa terutama saya ini. Kematian orang alim musibah besar. Beliau (Abu Hassan) selalu menangis demi agama ini. Menghargai setiap orang yang berdakwah.

“Ya Allah ampunkanlah dosa dan tinggikan darjat Murabbi kami Ustaz Hassan Din di sisi-Mu. Berilah kekuatan, kesabaran dan jagakan seluruh anak dan ahli keluarga beliau dalam keberkatan dan meneruskan perjuangan ayahnya,” luahnya lagi.

Allahyarham Abu Hassan, 73, disahkan meninggal dunia jam 7.30 pagi kelmarin selepas rebah dan tidak sedarkan diri sebaik selesai solat Subuh.


EBIT lew

Sementara itu, pelakon Adam Corrie Lee Abdullah, 51, turut berkongsi sepotong video di laman Instagramnya mengenai pesanan Allahyarham dalam kehidupan apabila beliau meninggal dunia.

“Dalam hidup ini, kita perlu ingat, hidup hanya sementara, bukan selama-lamanya. Kita mesti ingat tempat sebenar kita di hari akhirat.

“Andainya esok saya tiada, pertama harapan saya anak dan keluarga saya kekalkan momentum macam hari ini. Alhamdulillah anak membanggakan saya, tiada anak yang menyusahkan saya. Allahuakbar,” pesan Allahyarham melalui petikan video terbabit.

Penyanyi dan pengacara, Nur Heliza Helmi atau Heliza Helmi yang sering terbabit dalam program dakwah turut berkongsi petikan video daripada anak perempuan Allahyarham ketika menziarahi keluarganya di Kampung Batu Muda kelmarin.

“Masya-Allah, anakanda Guru Yang Mulia Ustaz Dato Seri Abu Hasan Din Al-Hafiz berkongsi banyak kisah kebaikan dan manfaat yang menjadi inspirasi kepada kita semua,” tulisnya sambil disertakan petikan video berkenaan melalui akaun Instagram.

Menurut anak Allahyarham, Munirah, bapanya tidak pernah marah dan meninggikan suara kepada adik-beradiknya.

“Anak buat silap sikit, (dia) tak tinggi suara, tak marah, tak tengking. Dia hanya cakap bagi kita faham,” katanya seperti petikan video berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 6:30 AM