FARAH nafi berada dalam zon ‘eksklusif’ tersendiri sebaliknya seronok bersama golongan memerlukan.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


MESKIPUN langkahnya dalam dunia hiburan bermula di pentas peragaan pada 2011, nama Farah Nabilah Saipuddin, 27, hanya mula menjadi perhatian sejak dua tahun lalu.

Pembabitan dalam lakonan menerusi drama Papa Ricky pada 2017 nyata berjaya membuka lembaran populariti buat Farah Nabilah untuk bakatnya dikenali ramai.

Diikuti peluang membintangi drama Titian Cinta bersama Zul Ariffin di slot Akasia TV3 mengukuhkan lagi nama dan populariti Farah.

Berpaksikan populariti dimiliki itu, Farah juga mendapat kepercayaan banyak pihak untuk bekerjasama termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Berbicara pembabitannya dengan NGO sebagai duta dan melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta kerja amal, Farah berkata, dia suka turun padang mendekati golongan memerlukan.

“Dalam dunia ini, setiap orang ada ujian kehidupan masing-masing. Ada yang hidup senang dan tidak kurang sebaliknya. Saya cuma prihatin.

“Secara tidak langsung, pembabitan dengan NGO ini memberi peluang kepada saya menyertai aktiviti kemasyarakatan dan kerja amal dilakukan.

“Jika ada masa terluang yang tidak terikat dengan penggambaran, bolehlah saya turun padang beramah mesra dan mendekati golongan memerlukan ini,” katanya.

Ditanya mengenai keperibadiannya yang dikatakan berada di zon ‘eksklusif’ tersendiri, Farah menafikannya.

“Saya sangat sukakan aktiviti kemasyarakatan dan sering juga menyertai program anjuran NGO.

“Baru-baru ini, saya menyertai aktiviti di Bangsar bersama kanak-kanak memerlukan. Ia sangat menyeronokkan dan saya selesa dapat meluangkan masa mengikutinya.


FARAH pentingkan ketinggian aktor pasangan pelakonnya dititik berat.

“Bagaimanapun, pada Ramadan ini saya kurangkan aktiviti kerana terikat dengan penggambaran drama untuk slot Akasia TV3 berjudul Kau Yang Pertama,’ katanya.

Berkongsi drama terbaharu itu, Farah memberitahu penggambaran bermula esok dan hero yang akan berganding dengannya ialah Fikry Ibrahim.

Menjadi gandingan kedua mereka selepas drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek tahun lalu, Farah mengakui sangat selesa bekerja dengan Fikry.

Sedar keserasian mantap lakonannya bersama Fikry, anak sulung itu memberitahu pelakon berkenaan seorang yang mudah dibawa berbincang dan senang bekerjasama.

Drama Kau Yang Pertama olahan skrip tidak berasaskan novel akan diarahkan Hadith Omar dengan barisan pelakon lain seperti Wan Sharmila, Tasha Shila dan Wan Elyas.

SELESA HERO TINGGI

Sudah bergandingan dengan pelakon lelaki terkenal seperti Zul, Fikry dan Syafiq Kyle, anak jati kelahiran ibu kota itu memberitahu dia suka bekerja dengan lelaki tinggi.

Menurut Farah, faktor ketinggian pasangan pelakonnya dititik berat kerana inginkan keselesaan sepanjang bekerjasama.

“Setakat ini, kerjasama dengan Zul, Syafiq dan Fikry berjaya membuatkan penonton dapat menerima baik lakonan saya. Mereka bertiga, rakan pelakon sangat berbakat.

“Banyak membantu saya memantapkan lakonan dan ada permintaan daripada penonton untuk terus bekerjasama dalam drama seterusnya.

“Macam dengan Zul, tawaran drama untuk kami berlakon sama masih ada tetapi jadual kerja yang bertindan. Apatah lagi, Zul lebih banyak fokus berlakon filem,” katanya.

Ditanya mengenai hero lain yang Farah ingin berlakon sama, katanya dia teringin bekerja dengan Remy Ishak kerana hero itu dilihat sangat berkaliber.

“Selain tinggi, saya dapati Remy begitu profesional dalam lakonannya. Apa saja watak dilakonkan, dapat direalisasi dengan mantap dan baik,” katanya.

Farah berkata, dia bukan cuba memilih rakan pelakon lelaki tertentu untuk bergandingan tetapi sekadar melihat pada kesesuaian ketinggian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 6:00 AM