Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


KISAH pengorbanan membesarkan enam anak hingga masing-masing berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading, dipilih juara dalam pertandingan Anugerah Ibu Mithali 2019 anjuran Harian Metro.

Diadakan sempena program Raikan Kasih Ibu bersama Harian Metro 2019, karangan ringkas cetusan Hasfalina Che Man mengenai ibunya, Hamidah Seman melayakkan wanita itu membawa pulang pakej umrah, sebentuk cincin, plak dan bunga.

Hasfalina yang juga pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, beliau dan adik beradiknya kini profesional dalam bidang kejuruteraan kimia, mekanikal dan elektrik selain akaun dengan salah seorangnya sedang menyiapkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan aeronautik.

Tempat kedua dimenangi Fatimah Masrun melalui hasil karangan ditulis anaknya Mohd Fahmi Badiran manakala tempat ketiga dimenangi Noraini Abu Kassim hasil karangan anaknya Siti Norbaizura Baharudin.


Ahmad Shukri (empat kiri) bersama Datuk Azlin (lima kiri) bergambar bersama penaja pada majlis Raikan Kasih Ibu Bersama Harian Metro. FOTO di Hotel Four Points By Sheraton Puchong. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Tempat kedua membawa pulang sepersalinan kebaya, sebentuk cincin, plak dan bunga manakala tempat ketiga membawa pulang sebentuk cincin, plak dan sejambak bunga.

Dalam pada itu 250 individu termasuk 30 ibu tunggal Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Witus diraikan dalam program yang diadakan di Hotel Four Points by Sheraton, Puchong yang turut menampilkan persembahan nyanyian daripada artis Siti Nordiana dan Syamel.

Majlis dirasmikan Presiden Peniagawati Datuk Azlin Ahmad Shaharbi.

Turut hadir Pengurus Besar Pengiklanan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) Jeannie Leong Lee Fu; Pengarang Eksekutif Pengeluaran Harian Metro Ahmad Shukri Sulaiman dan Pengarang Eksekutif Berita dan Digital Harian Metro Noor Sham Salleh.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, program sambutan hari ibu itu kali kelima diadakan dengan kali terakhir pada 2012.


Hasfalina mencium ibunya, Hamidah pada majlis Raikan Kasih Ibu Bersama Harian Metro. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

“Walaupun tanpa majlis besar dalam tempoh tujuh tahun ini namun Harian Metro sentiasa menyokong kempen dan sambutan Hari Ibu menerusi penulisan artikel, berita mahupun rencana.

“Tahun ini tajaan daripada barisan penaja, syarikat korporat, pengiklan dan pengusaha produk serta perkhidmatan program ini kembali dengan tema Raikan Kasih Ibu,” katanya.

Penaja bersama program kali ini adalah Hotel Four Points by Sheraton Puchong diwakili Pengurus Besarnya, Kumar Renoo.

Rakan penaja lain adalah Persada Global, AirAsia, Carissa Collections, SPA Skin Skin Valet Ampang, Khalifah Jewels, Pandora, Wardah, Rumah Kebaya Bangsar, Schatzs, AEON, Mamee, D&D Beauty House, Nusantara Touch dan Shopee.

Anugerah Ibu Mithali dan cabutan bertuah mendapat tajaan keseluruhan bernilai RM70,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 9:49 PM