PADUAN Aishah, Alif dan Nora terbukti menghiburkan. FOTO: Saifullizan Tamadi
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


SATU kombinasi menarik dan mantap. Inilah kesimpulan yang dibuat apabila menyaksikan persembahan Aishah Ariffin dan Nora Ariffin sempena Sambutan Minggu Setiausaha di Hotel Palace of the Golden Horses (PoGH), Mines, Khamis lalu.

Persembahan yang julung kali menggabungkan dua penyanyi mempunyai kualiti vokal hebat itu ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

Berkonsepkan makan tengah hari, peminat terlebih dahulu disajikan jamuan makan sebelum menikmati persembahan Aishah dan Nora serta peniup saksofon muda berbakat, Alif Nasir.

Sebagai pembuka pentas, ketiga-tiga mereka tampil dengan gimik persembahan yang menarik. Seterusnya peminat disajikan persembahan Alif yang meniup saksofon secara solo.

Tidak keterlaluan dikatakan Alif mempunyai bakat yang besar sebagai peniup saksofon muda. Malah ada juga dalam kalangan peminat menggelarkannya Kenny G Malaysia.

Selepas itu, peminat dibawa menikmati persembahan solo Nora yang memilih menyampaikan rangkaian lagu popularnya iaitu Debaran, Renungan Terakhir, Sinaran, Di Persimpangan Dilema, I’ll Never Love Again dan Hanya Satu.


PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang bergambar dengan Nora.

Peminat asyik dan teruja menikmati kemerduan nyanyian Nora. Lagu ini seolah-olah mewakili perjalanan hidupnya kini selepas kematian suami tercinta, Johan Nawawi pada Mac 2017.

Sukar mencari kelemahan Nora kerana kawalan vokalnya amat mantap. Aspek komunikasi dengan peminat juga amat bagus.

Puas menikmati persembahan Nora, peminat dihiburkan pula dengan nyanyian Aishah menerusi lagu Kau Yang Istimewa, Camar Yang Pulang, One Night Only, Malar (lagu baru) dan sudah semestinya lagu Janji Manismu.

Aishah membuktikan dia antara penghibur legenda yang sukar digugat dan dicari ganti. Ada saja dialog spontannya yang mengundang ketawa peminat.

Paling mengagumkan, dia mampu menghafal setiap badan korporat mahupun swasta yang membeli meja apabila menyebut nama mereka satu persatu tanpa melihat pada kertas.

Selesai nyanyian solo, Aishah dan Nora kembali bergabung dalam segmen tribute buat Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan Allahyarham Johan Nawawi.

Susunan muzik untuk segmen ini dibuat oleh Azlan Abu Hassan. Rangakain lagu Naluri, Dendam Dalam Diam, Menanti dan Kasih Kita yang turut diiringi oleh tiupan saksofon Alif ternyata amat meruntun hati peminat.

Malah Nora sendiri kelihatan begitu sebak menyanyikan lagu ini. Namun sikap profesionalnya berjaya membuatkan dia menghabiskan nyanyiannya.

Ditemui selepas persembahan mereka, Aishah dan Nora mengakui begitu terharu dengan sambutan yang diperlihatkan peminat terhadap persembahan mereka.


TAMPIL dengan gimik persembahan yang menarik.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan yang pasti peminat puas hati dengan apa yang ditampilkan.

“Tak dinafikan mulanya bimbang juga persembahan kami tiada peminat. Kami tak nak reputasi kami tercalar sekiranya persembahan ini dibatalkan atau tiada peminat.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Mareepoosa Creative and Event yang memberi kepercayaan kepada kami,” kata Aishah. Nora pula berkata, sudah lima tahun dia tidak mengadakan persembahan untuk Minggu Setiausaha dan kali ini digabungkan dengan dengan Aishah dalam konsep yang berbeza.

“Saya mengakui amat sebak ketika segmen tribute dan tak nak pandang belakang tengok playback visual gambar arwah suami dan Datuk Adnan.

“Kedua-dua insan ini amat dekat di hati saya. Mereka sudah tiada tapi kekal di hati saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 5:30 AM