Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


“MEMANG tiada entiti atau makhluk halus ketika rakaman dibuat dan saya akui rakaman video yang tular itu disunting untuk menjadikannya sebagai bahan penarik di laman sosial,” kata Nasrullah Mohammad Napi mengenai video ‘entiti’ menyerupai kanak-kanak lelaki duduk di hadapan cermin.

Nasrullah, 31, yang juga pengurus Jumper Motion berkata, kanak-kanak lelaki dalam rakaman berkenaan adalah anak bongsunya, Mohammad Naeyl yang berumur 10 bulan, manakala suara wanita dalam rakaman video berkenaan pula adalah isterinya, Noor Asmah Ishak, 36.

Katanya, idea menghasilkan video berkenaan timbul secara spontan ketika berada di rumah, dan dia mengambil masa selama setengah jam untuk merakam aksi Mohammad Naeyl serta dua hari untuk menyiapkan video berdurasi 10 saat itu.

“Untuk mendapatkan hasil lebih kemas sebenarnya memerlukan masa lebih lama, selain peralatan serta tenaga kerja yang ramai.

“Namun, saya hanya gunakan perisian ‘After Effect’ saja untuk memberi kesan khas kerana tiada bajet, lagipun ia sekadar untuk mengisi bahan di laman sosial saya.

“Pendek kata, merakam dan menyunting video bukan hanya hobi tetapi sudah menjadi kerjaya tetap saya sejak enam tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dalam pada itu, Nasrullah memohon maaf kepada mereka yang tidak menyenangi video dimuat naiknya.


RAKAMAN video dimuat naik Nasrullah di Twitter mendapat pelbagai reaksi netizen. FOTO Tular

Katanya, banyak juga maklum balas yang diterima, tidak kurang juga pertanyaan daripada netizen mengenai kesahihan video berkenaan.

“Ramai yang percaya adanya entiti dalam video berkenaan, tetapi ada juga tahu ia hanyalah disunting dengan kesan khas semata-mata.

“Ada yang menuduh saya mengeksploitasi kanak-kanak demi meraih perhatian, namun saya terima komen mereka dengan hati terbuka.

“Apa pun, terima kasih kerana menyokong dan memahami ia hanyalah satu karya dan hasil kreativiti untuk hiburan semata-mata,” katanya.

Rakaman video kanak-kanak berkenaan mula tular di Twitter sejak dua hari lalu, sebelum dikongsi di platform laman sosial lain hingga menerima pelbagai reaksi netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 1:13 PM