GAMBAR kenangan Othman bersama cucunya, Norazian Md Ali.
Amran Yahya
am@hmetro.com.my


KUALA PILAH: “Ketika usianya genap 100 tahun, ayah sakit dan menghembuskan nafas terakhirnya semalam (Ahad),” kata Ibu Soko Suku Selemak Pahang, Zainab Jamil, 72.

Zainab menantu kepada Othman Bakar, seorang pengamal Adat Perpatih yang meninggal dunia pada usia 100 tahun sembilan hari di kediamannya di Kampung Bukit Perah, Tanjung Ipoh di jam 3.30 petang, akibat sakit tua.

Menurutnya, tahap kesihatan bapa mentuanya itu mula menurun sejak sebulan lalu menyebabkannya terlantar.

“Sebelum sakit, arwah ada berhajat untuk menyambut ulang tahun kelahirannya bersama keluarga, sanak-saudara dan sahabat.

“Bagaimanapun, pada usianya genap 100 tahun pada 19 April lalu, arwah sakit dan kami berbincang untuk mengadakan sambutan itu sekiranya dia kembali sihat.

“Namun, ketetapan Allah SWT mengatasi segalanya, apabila arwah terlebih dahulu dijemput Ilahi dan kami reda dengan ketentuan-Nya,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di sini, semalam.

Zainab berkata, mengikut perancangan ulang tahun kelahiran bapa mentuanya itu akan disambut dengan cara beradat.

Katanya, jenazah Othman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Perah, Tanjung Ipoh selepas solat Maghrib.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 6:00 AM