PERSEMBAHAN Afdlin yang mencuit hati bergandingan bersama Zainal.
ZAINAL, Sheila, Afdlin berjaya tarik 50,000 penonton ke konsert Re-Jamm mengulangi Konsert Ikhlas 1992. FOTO: Hafiz Sohaimi
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


BUKAN sahaja gabungan tiga legenda tanah air, konsert Re-Jamm yang menampilkan Datuk Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid dan Datuk Afdlin Shauki berjaya mengimbau nostalgia Konsert Ikhlas di Stadium Negara pada 1992.

Jika Konsert Ikhlas berjaya menarik lebih 45,000 penonton ketika itu, konsert Re-Jamm juga berjaya menghimpunkan semula semua peminat tiga penghibur legenda terbabit dalam satu konsert.

Ternyata, lebih 5,000 penonton terhibur dengan persembahan mantap dan bertenaga Sheila, Zainal dan Afdlin, sekali gus menggamit kenangan terhadap konsert hebat yang berlangsung tiga dekad lalu.

Konsert Re-Jamm sempena Festival Muzik tiga hari ini anjuran Music Unlimited International Sdn Bhd dan berlangsung dari 26 hingga 28 April di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Bersandarkan pengalaman 33 tahun, nama Ratu Jazz negara, Sheila Majid terus bertahan dalam industri muzik tanah air.


PERSEMBAHAN Sheila memukau penonton.

Ketika ditemu bual, Sheila berharap konsert Re-Jamm bukan sahaja mengimbau Konsert Ikhlas tetapi berjaya menghimpunkan semula semua peminat setia yang menyokong karier muzik mereka sejak dulu.

“Semoga konsert KL Jamm akan menjadi platform serta menjadi acara tahunan.

“Apa yang penting, konsert ini dapat menyalurkan mesej penting kepada peminat supaya menyokong konsert artis tempatan,” katanya.

Penghibur yang dikenali dengan genre ‘world music’, Zainal Abidin juga bukan calang-calang kerana turut mencipta nama di arena antarabangsa. Pada usia 60 tahun, Zainal yang memulakan karier solo pada 1991 tetap hebat dan ligat menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu malar segarnya, sekali gus mengubat kerinduan peminat.

“Bila saya mula menyanyi, ramai orang fikir saya penyanyi paling mahal ketika itu.

“Mungkin sebab itulah saya masih bertahan selepas hampir 40 tahun berkecimpung dalam bidang ini,” katanya.

Zainal juga sempat berjenaka dan mencuit hati penonton pada malam itu dengan jenaka bersahaja.

“Kalau dulu saya boleh menyanyi lebih 44 lagu dalam konsert 4 jam tanpa henti, sekarang mampu menyanyi tujuh lagu saja dalam konsert dua jam ini,” katanya berseloroh.


AFDLIN dan Sheila turut berduet.

Berbanding Sheila dan Zainal, Afdlin lebih dikenali sebagai pelakon dan pelawak. Selain Sheila dan Zainal, Afdlin juga terbabit dalam album kompilasi berjudul Ikhlas bersama artis Roslan Aziz Productions lain seperti Allahyarham Zubir Ali, Azman Warren dan Amir Yusof.

Malah, Afdlin mengakui sangat bersyukur kerana mampu beraksi di samping dua artis legenda hebat itu di konsert Re-Jamm.

Sambil menyanyi, Afdlin turut menceritakan pembabitan awalnya dalam bidang nyanyian. Selain menyampaikan lagu daripada album Ikhlas, Afflin turut berduet dengan Sheila dan Zainal.

“Saya juga bermula dengan Zainal dan Sheila menerusi album Ikhlas dan Konsert Ikhlas tetapi berhenti dalam bidang muzik kerana menjadi pelakon, pengarah dan pelawak.

“Pun begitu, kecintaan saya terhadap bidang muzik tak pernah berkurang,” katanya. Konsert pada malam jumaat lalu disemarakkan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RANGKAIAN LAGU MALAR SEGAR

Sudah namanya penghibur profesional, Sheila tidak menghampakan peminat dengan rangkaian lagu hit yang masih menjadi siulan peminat sejak dulu.

Antara lagu itu ialah Pengemis Muda, Ku Mohon, Warna, Lagenda, Antara Anyir dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Sinaran termasuk lagu Bahagia dari bingkisan album keduanya.

Pada usia 55 tahun, ibu kepada empat anak ini tetap lincah dan bertenaga di pentas. Pendek kata, tidak jauh beza seperti zaman mudanya dulu.

Sheila turut membuat segmen persembahan duet bersama Zainal dan Afdlin.

Kemunculan Zainal mendapat tepukan gemuruh daripada penonton setiap kali beraksi di atas pentas.

Zainal menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu malar segarnya seperti Hijau, Orak Arek, Ikhlas Tapi Jauh, Damai, Inayah dan banyak lagi.


AFDLIN dan Sheila turut berduet.

Terdahulu, penonton dihiburkan dengan penampilan Afdlin sebagai penghibur yang menyanyi sambil berjenaka di pentas.

Afdlin turut menyampaikan rangkaian lagu solo dan daripada album Ikhlas yang ditujukan kepada arwah ibunya serta anak perempuan seperti Aku Lelaki dan Mia Sara.

Tidak lengkap konsert pada malam itu dengan penampilan tiga legenda menerusi lagu Ikhlas Tapi Jauh, sekali gus menutup persembahan pada malam itu.

Kehebatan konsert malam itu tidak akan berjaya tanpa sentuhan barisan pemuzik pengiring hebat seperti Eddie, Sham Kamikaze, Shah, Steve Hassan Thornton Abdullah dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 5:30 AM