NASIB Kevin hanya boleh ditentukan oleh TMJ.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: “Bukan senang nak suruh Kevin Ramalingam selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) letak jawatan kerana jawatan itu atas lantikan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL).”

Demikian menurut sumber, seorang Setiausaha Agung persatuan bola sepak negeri yang menegaskan desakan untuk melihat Kevin melepaskan jawatannya hanya sia-sia jika tidak menggunakan saluran betul.

Jelasnya, nasib Kevin hanya boleh ditentukan oleh Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkuasa penuh untuk melantik atau memecat mana-mana individu bagi menyandang kerusi panas itu.

Bagaimanapun, rakan kongsi yang terdiri daripada 24 pasukan masih boleh menyuarakan pandangan dan cadangan pada Kongres MFL sekiranya tidak berpuas hati dengan prestasi CEO itu.

“Kuasa melantik atau memecat CEO MFL sepenuhnya di tangan Pengerusi. Proses itu sama seperti pelantikan Setiausaha Agung FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang mana Presiden boleh melantik individu yang difikirkan sesuai memikul tugas itu.

“Jadi, dalam isu ini, jika ada ahli gabungan MFL yang tak berpuas hati mereka tak boleh sesuka hati minta CEO meletakkan jawatan.

“Namun, masih ada cara lain iaitu menerusi Kongres MFL yang mana ketika itu FA atau kelab boleh mengusulkan undi tidak percaya, sekali gus memohon pertimbangan Pengerusi untuk menukar CEO,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak, Datuk Posa Majais mengemukakan enam dalil supaya Kevin meletakkan jawatan daripada terus mengendalikan Liga Malaysia (Liga M).

Menurutnya, ada banyak ‘dalil’ yang menyebabkan rakan kongsi bersuara menuntut supaya Kevin segera meninggalkan MFL termasuk isu kecelaruan jadual perlawanan liga tempatan, isu penyertaan dan pembatalan pasukan Perlis di Liga Perdana selain status insurans pasukan yang masih tergantung hingga kini.

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah, Datuk Peter Anthony turut mempersoalkan kredibiliti MFL dan mahu FAM kembali diberikan kuasa penuh bagi mengendalikan liga bola sepak profesional di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 5:30 AM