ARIF akui kini seni lakonan sudah menjadi minatnya. FOTO Aziah Azmee
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


TIDAK pernah terfikir akan terbabit dalam bidang lakonan, penyanyi Arif Bahran mengakui kini cabang seni itu sudah menjadi minatnya.

Walaupun sedar kerjaya itu agak sukar dan mencabar, anak muda berusia 21 tahun itu berkata, tidak serik untuk menerima tawaran berlakon pada masa akan datang.

Bakal tampil dengan drama kedua lakonannya berjudul Voice Note yang akan ditayangkan di TV3 tidak lama lagi, Bahran berkongsi rasa teruja.

“Saya tiada ilmu dan pengalaman dalam bidang ini. Pertama kali menjayakan telefilem Dari Jauh saya berdepan banyak cabaran.

“Meskipun susah, saya mula jatuh cinta dan terbuka hati untuk mencuba lagi sekiranya ada tawaran.

“Syukur, datang pula rezeki beraksi dalam drama Voice Note,” katanya.

Mengakui sering bertanya rakan artis mengenai lakonan, Arif menganggap perkara itu perlu untuk memperbaiki mutu persembahannya.

“Apabila bermula dengan kosong saya perlu tahu apa yang harus dilakukan.

“Selain berlatih saya juga akan bertanya dan minta pandangan rakan artis seperti Sufian Suhami dan ramai lagi.

“Masing-masing berkongsi pengalaman yang ada dan saya praktikkan mengikut cara sendiri yang dirasakan sesuai,” katanya.

Mengulas lanjut lakonannya dalam Voice Note, Bahran berkata dia sukakan watak dan jalan ceritanya.

“Ini kali pertama saya melakonkan watak seram dan mencabar. Memang sangat menguji tetapi saya suka.

“Bergandingan pula dengan Sharifah Sakinah, dia banyak membantu saya dalam menjiwai watak.

“Memang pada mulanya gementar digandingkan dengan dia.

“Tak sangka pula dia kelakar dan menyenangkan,” katanya.

Selain Bahran dan Sakinah, Voice Note turut dibintangi Amelia Henderson dan Ikmal Amry.

Berkongsi perkembangan karier nyanyian, Bahran kini dalam proses menyiapkan album yang dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Album yang memuatkan tujuh lagu itu menggunakan khidmat komposer Sirkhan dan Bahran nyata selesa bekerjasama dengan anak muda itu.

“Jika tidak sibuk di lokasi penggambaran saya akan menghabiskan masa di studio untuk menyiapkan lagu baru.

“Lima lagu sudah siap dan saya turut memuatkan lagu Juara Dusta.

“Insya-Allah jika tiada aral album ini akan dilancarkan hujung tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 6:00 AM