TERTUDUH dijatuhi hukuman mati. FOTO Sairien Nafis
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


PENGANGGUR dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, selepas didapati bersalah membunuh anak teman wanitanya berusia 19 bulan, tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Aizat Abdullah Othman, 25, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pembelaan selain wujud keraguan dalam keterangan tertuduh.

“Keterangan seorang saksi kanak-kanak adalah jujur walaupun ketika kejadian saksi itu berusia lima tahun.

Saksi menceritakan perbuatan tertuduh iaitu menumbuk perut, membaling ke dinding dan mengikat si mati menggunakan getah paip.

“Walaupun keterangan itu diberikan saksi berusia lima tahun, ia saksi benar dan meyakinkan mahkamah. Perbuatan tertuduh zalim dan terkutuk,” katanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Aizat didakwa membunuh Hannah Sufiyah Muhammad Adib di rumah sewa ibu kanak-kanak perempuan itu di Apartmen Teratai, Puchong, antara 8 pagi hingga 2 petang, 31 Mac 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azilah Mat dan R Puspharasi manakala tertuduh diwakili peguam, Aqeeb Lizalman Nordin Zamery.

Sementara itu, Aizat kelihatan sudah menjangka nasib dirinya apabila kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan.

Namun, ahli keluarga serta rakannya yang turut hadir dilihat menitiskan air mata selepas Abdul Halim membacakan keputusan itu.

Media sebelum ini melaporkan, Hannah Sufiyah meninggal dunia selepas mengalami pendarahan di kepala dan beberapa kesan dera di badan akibat dihempas ke lantai di rumah berkenaan.

Tertuduh diberkas polis selepas bedah siasat dilakukan manakala ibu mangsa yang bertugas di Jabatan Imigresen pula ditahan di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Buloh, ketika cuba membawa jenazah kanak-kanak itu untuk dikebumikan di kampungnya di Alor Setar, Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 2:56 PM