Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


KELEMAHAN pengurusan dan kegagalan menjaga hak kepentingan rakan kongsi menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam didesak untuk meletakkan jawatan daripada terus mengendalikan Liga Malaysia (Liga M).

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais berkata, beliau yang mewakili suara beberapa persatuan bola sepak negeri (FA) dan kelab sudah lama menyimpan hasrat itu dan kegagalan perjanjian penajaan terbesar bersama Telekom Malaysia (TM) baru-baru ini adalah kemuncak kepada desakan berkenaan.

Katanya, terdapat banyak ‘dalil’ yang menyebabkan rakan kongsi bersuara menuntut agar Kevin segera meninggalkan MFL termasuk isu kecelaruan jadual perlawanan liga tempatan, isu penyertaan dan pembatalan pasukan Perlis di Liga Perdana selain status insurans pasukan yang masih tergantung sehingga kini.

Beliau berkata, sebagai rakan kongsi yang memberi kepercayaan penuh kepada MFL untuk menaikkan nilai komersial Liga M dan kantung pasukan dalam liga, semua itu tidak berlaku seperti mana yang dijanjikan ketika di awal penubuhan FMLLP (sekarang MFL) beberapa tahun lalu.

“Kami rasa bukan seperti rakan kongsi lagi tetapi dah macam penjenayah kerana ada saja isu dan kesalahan yang tujukan kepada pasukan. Sampai sekarang pun kalau nak cakap pasukan meraih keuntungan sebenarnya tak tepat, malah pasukan terus ‘dirompak’ dengan pelbagai kesalahan denda membabitkan ribuan dan jutaan ringgit.

“Misalnya tahun lalu, semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana mendapat RM3 juta dan RM1 juta, tapi sebenarnya duit berkenaan dipulangkan balik kepada mereka selepas dikatakan gagal menyediakan pelbagai dokumen dan sebagainya. Tahun ini pun skrip sama, tapi lebih kejam kerana mereka mahu menolak geran hampir 50 peratus ketika saingan liga memasuki pertengahan liga. Kenapa baru sekarang umumkan tolak geran? Mengapa tidak awal musim lagi sebab dokumen sudah diserahkan lebih awal.

“Adakah kerana TM membatalkan niat untuk menaja, jadi kami menjadi mangsa dengan dipotong geran sampai 50 peratus. Seharusnya beliau (pegawai nombor satu MFL) perlu bertanggungjawab di atas isu TM dan perlu meletakkan jawatan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini, semalam.

Pada 15 Mac lalu, MFL mengumumkan penamatan kontrak penajaan bersama TM yang difahamkan bernilai RM480 juta bagi tempoh lapan tahun bermula Januari 2018 selepas perbincangan untuk meneruskan perjanjian kerjasama penajaan menemui jalan buntu.

Perkembangan itu nyata menimbulkan keresahan dalam kalangan pasukan, namun MFL memberi jaminan akan sentiasa amanah dan bertanggungjawab kepada pemegang taruh yang terdiri daripada 24 pasukan selain berusaha keras untuk mencari dana selepas ketiadaan TM.

Bagaimanapun, jumlah serta tarikh penyerahan geran kepada semua pasukan bertanding masih tergantung.

Mengulas lanjut, Posa berkata, isu membabitkan pasukan Perlis yang sepatutnya beraksi di Liga M3 dan bukannya Liga Perdana adalah kesilapan terbesar dilakukan oleh MFL hingga memberi kesan negatif kepada imej liga tempatan.

“Isu pemain (Perlis) tak dapat gaji dan ada pemain yang tidak ada pasukan sehingga kini berpunca daripada MFL. Beliau selalu gunakan istilah keputusan Ahli Lembaga Pengarah, tapi persoalannya benarkah Ahli Lembaga Pengarah itu mewakili suara majoriti pasukan.

“Bayangkan pasukan yang berjaya menang ke atas Perlis sebelum ini terpaksa dibatalkan keputusan itu, malah daripada 12 pasukan kini hanya tinggal 11 saja. Tahun lalu pun begitu juga apabila Kuantan FA dibatalkan penyertaan ekoran isu gaji.

“Rasanya dalam dunia ini Liga M saja yang terpaksa batalkan penyertaan pasukan ketika liga sedang berlangsung selama dua kali (tahun) berturut-turut. Seolah-olah MFL ini tak serik buat kesilapan dan boleh sesuka hati pinda jadual dan sebagainya,” katanya.

MFL yang dulu dikenali FMLLP ditubuhkan pada 2015 bagi tujuan penjenamaan Liga M dengan diketuai bekas Ketua Pegawai Eksekutif The Red Warriors Sdn Bhd, Kevin Ramalingam untuk menjadikan bola sepak sebagai satu penyumbang kepada ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 5:30 AM
POSA Majais (dua dari kiri) mengadakan sidang media mengenai ahli-ahli gabungan MFL tidak puas hati terhadap tindakan Liga Bolasepak Malaysia potong 50 peratus geran tahunan kepada tujuh pasukan di Hotel Park Royal. -Foto AMIRUDIN SAHIB.
Skip this ad x