JOHN Bahande (kanan) bersama anak-anaknya hanyut selama 17 hari sebelum terdampar di pantai Kuala Meruap. -Foto HAZSYAH ABDUL RAHMAN.
Junaidi Ladjana dan Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


TERPAKSA meminum air laut untuk menghilangkan dahaga dan melakukan pelbagai ikhtiar untuk meneruskan hidup selepas hanyut di laut sejauh lebih 370 kilometer selama 17 hari.

Itu azab yang terpaksa dilalui seorang bapa dan tiga anaknya termasuk seorang anak perempuan yang hanyut dari perairan Rio Tuba, Palawan, Filipina ke pantai Kuala Meruap, Lahad Datu pada tahun lalu sebelum diselamatkan pada Januari lalu.

Mangsa berketurunan Tagalog dikenali sebagai John Bahande, 59, dan tiga anaknya iaitu Idad John Fred, 12; Edad Jiezl, 10, dan Alfredo, 7, ditemui dalam keadaan lemah, kurus dan tidak berdaya sebelum diselamatkan nelayan pada 11 Januari lalu.

Menurut John, sebelum kejadian dia yang bekerja sebagai peraih ikan dalam perjalanan dari Pulau Bugsuk, Palawan menuju ke tempat tinggal mereka di Rio Tuba pada 24 Disember tahun lalu.

Katanya, ketika itu adalah musim Monsun dan ketika dalam perjalanan pulang menggunakan sebuah bot mereka terkena ribut.


PANTAI Kuala Meruap, Lahad Datu, lokasi mangsa mendirikan pondok selepas hanyut di lautan sejauh lebih 370 kilometer selama 17 hari. -Foto HAZSYAH ABDUL RAHMAN.

“Bot kami kemudian dihanyutkan ribut sehingga tidak tahu berada di mana. Dalam masa sama, minyak enjin bot juga habis dan tidak mampu melakukan apa-apa.

“Kami hanya mampu duduk diam dalam bot kerana tidak melihat apa daratan,” katanya ketika ditemui di Kuala Meruap, Lahad Datu, kelmarin.

John berkata, selepas hanyut mereka masih ada bekalan makanan seperti ikan mentah yang dibeli sebelum itu.

“Namun, ikan mentah berkenaan hanya mampu bertahan untuk beberapa hari saja. Begitu juga dengan air minuman kami.

“Untuk membasahkan tekak, kami meminum sedikit air laut kerana terlalu haus. Kami juga berjaya mengumpulkan air hujan, tetapi kerana tiada tempat mengisinya menyebabkan tidak banyak yang dapat dikumpulkan.


PGA menemubual mangsa di Pantai Kuala Meruap, Lahad Datu. -Foto HAZSYAH ABDUL RAHMAN.

“Sehinggalah pada 9 Januari, kami sampai di pantai dekat sini dan kemudiannya terdampar dalam bot di situ selama tiga hari,” katanya.

Jelasnya, mereka kemudiannya ditemui nelayan dan diberikan makanan serta pakaian pada 11 Januari.

Mengulas lanjut, John berkata, ketika tiba di pantai itu, mereka hanya tidur di atas pasir dan bernasib baik apabila ada beberapa nelayan memberikan bantuan peralatan pelapik.

“Beberapa hari kemudian, saya mengambil keputusan untuk membuat pondok agar ada tempat berteduh ketika berada di Pantai Kuala Meruap yang menjadi lokasi perhentian nelayan.

“Saya terpaksa memotong papan bot untuk dijadikan pondok dan dengan bantuan nelayan akhirnya kami ada tempat berlindung.

“Selama tinggal di sini, saya bekerja mendapatkan kunau (kerang) untuk dijual supaya kami mampu mengumpul duit untuk pulang ke tempat asal,” katanya.

Menurut John, dia berterima kasih kepada nelayan yang banyak memberi bantuan kepada mereka sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:30 AM