NAJIB berbincang dengan Muhammad Shafee ketika perbicaraan berhenti rehat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Murni Wan Omar
am@hmetro.com.my


SEORANG kontraktor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, bahawa dia menerima bayaran sebanyak RM77,300 bagi membina dua menara tangki air dan membaiki pelbagai kerosakan di rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pekan, Pahang, pada 2014.

Daud Mohamad, 57, pengurus syarikat Syadilah Enterprise berkata, pada 2014, dia ada membuat sebut harga bagi membuat dua menara air setinggi dua tingkat dan tiga tingkat kepada penyelia rumah itu iaitu Zainuddin Abdul Aziz.

“Selepas mendapat kelulusan saya membuat kerja membina dan ia siap dalam tempoh tiga bulan berikutan musim hujan. Kos untuk membuat tangki ini adalah sebanyak RM67,000.

“Selain itu saya juga membuat kerja penyelenggaraan untuk penyaman udara, membaiki atap bocor, membaik pulih tombol pintu serta mengganti dapur yang rosak,” katanya ketika menjawab Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.


ANTARA dokumen berkaitan SRC International yang membabitkan Najib dibawa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Daud berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) dihadapi Najib.

Sementara itu, menjawab soalan peguam Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada merekodkan keterangannya pada 2015.

Saksi juga mengesahkan bahawa rumah kediaman Najib yang dinamakan sebagai Seri Kenangan juga berfungsi sebagai Pusat Perkhidmatan Umno Pekan dan Pusat Operasi Khidmat Ahli Parlimen Pekan.


DAUD hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memberi keterangan.

SHAFEE: Kenapa sampai dua menara air perlu dibuat?

DAUD: Ia adalah untuk keperluan orang ramai dan kegunaan keluarga Najib.

SHAFEE: Pembinaan tangki air ini adalah ia keperluan mendesak atau kemewahan?

DAUD: Keperluan mendesak. Ini adalah kerana motor pam sudah beberapa kali rosak. Malah ia pernah dimasuki musang.

SHAFEE: Kamu adalah orang Pekan, Pahang. Adakah anda selalu lihat majlis keramaian seperti politik dan agama di situ?

DAUD: Ya, ada majlis ketika hari raya dan saya pernah pergi ketika sambutan Aidiladha.

SHAFEE: Adakah anda tahu Yayasan Tun Rahah?

DAUD: Tahu.

SHAFEE: Anda tahu ia untuk apa?

DAUD: Untuk membantu penduduk daerah Pekan yang susah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 7:00 AM