HARIS KASIM
Idris Musa dan Yusmizal Dolah Aling
am@hmetro.com.my

RUPA paras, karakter, layanan baik dan kewangan kukuh antara faktor mendorong sama ada lelaki atau wanita tempatan memilih pasangan hidup dalam kalangan warga asing dari seluruh dunia.

Malah, trend perkahwinan ini terutama di Selangor semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Namun, tidak semua perkawinan itu atas dasar cinta, ada juga dalam kalangan warga asing ini mahu mengambil kesempatan berkahwin dengan warga tempatan semata-mata untuk memudahkan pengeluaran visa atau mahu menjalankan perniagaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Haris Kasim berkata, di Selangor, peningkatan warga asing berkahwin dengan warga tempatan mula ketara sejak 2014.

Katanya, banyak faktor mendorong perkahwinan warga asing dan rakyat tempatan ini yang memilih pasangan hidup berlainan budaya.

Bagaimanapun, katanya, ada juga pasangan yang mencari jalan untuk berkahwin dengan wanita atau lelaki tempatan bagi memudahkan urusan visa.

“(Selain itu) keistimewaan akibat perkahwinan, penguasaan, pemilikan dan pengekalan kepentingan serta keperluan kehidupan mereka di Malaysia,” katanya kepada Harian Metro.

Laporan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan warganegara di Selangor bagi 2014 dan 2015 adalah contoh jelas menunjukkan peningkatan yang ketara.

Bagi 2014, membabitkan sejumlah 983 orang, iaitu 635 daripadanya adalah wanita manakala 348 lelaki, dengan warga Indonesia paling ramai iaitu 617 orang (148 lelaki, 469 wanita), Thailand (20 lelaki, 74 wanita), India (31 lelaki, 31 wanita), Pakistan (39 lelaki, 14 wanita), Bangladesh (22 lelaki, dua wanita), Filipina (enam lelaki, 13 wanita), Singapura (10 lelaki, tujuh wanita) dan lain-lain (72 lelaki, 25 wanita).

Statistik 2015 pula menunjukkan sejumlah 1,066 warga asing mendaftarkan perkahwinan di Selangor, iaitu 570 daripadanya lelaki dan 496 wanita.

Rakyat Indonesia terus merekodkan angka tertinggi dengan 581 orang (236 lelaki, 345 wanita), Pakistan (97 lelaki, sembilan wanita), Thailand (23 lelaki, 39 wanita), India (44 lelaki, dua wanita) dan Bangladesh (20 lelaki, 28 wanita).

Warga Kemboja (tujuh lelaki, 14 wanita), China (10 lelaki, tujuh wanita), Singapura (15 lelaki), Filipina (tiga lelaki, lapan wanita), Nigeria (tujuh lelaki, dua wanita), Mesir (empat lelaki, empat wanita), British (lima lelaki, dua wanita), Australia (enam lelaki) dan Myanmar (dua lelaki, tiga wanita).

Seterusnya, Nepal (empat lelaki), Amerika Syarikat (dua lelaki, dua wanita), Vietnam (dua lelaki, seorang wanita), Iran (dua lelaki, seorang wanita), Yaman (tiga lelaki) dan Iraq (tiga lelaki). Afrika, Jepun, Denmark dan Jerman masing-masing dua lelaki.

Sweden, Itali, Argentina, England, Perancis, Jerman, Belanda, Algeria, Liberia, Syria, Rusia, Jordan, Palestin dan Lubnan, masing-masing seorang lelaki manakala United Kingdom dan Korea, masing-masing seorang wanita dan lain-lain (53 lelaki, 27 wanita).

Berdasarkan data itu, Haris berkata, kecenderungan jumlah lelaki meningkat dari tahun ke tahun berbanding wanita, dengan pertambahan jumlah negara dari lapan kepada 41 negara.

“Umumnya data berkenaan menunjukkan cinta itu melampaui batas ras dan sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata, pada prinsipnya JAIS akan memberikan kelulusan permohonan yang dikemukakan jika pihak pemohon dapat memenuhi semua keperluan ditetapkan.

“Buat masa ini belum ada sebarang kajian atau soal selidik yang dapat mensahihkan fakta tersembunyi di sebalik cinta antara dua negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagaimanapun sudah ada trend menunjukkan peningkatan kes perselisihan faham, proses perceraian dan pembubaran perkahwinan yang berlaku membabitkan pasangan berkenaan.

“Isu dan permasalahan yang berbangkit menunjukkan perkara ini berlaku akibat penderaan, cemburu dan kewujudan pihak ketiga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:30 AM