PEKERJA sedang membaik pulih padang di SSMZA Gong Badak. FOTO NSTP
Zatul Iffah Zolkiply dan Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my

SEDEKAD usia Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, tidak padan dengan gelaran asalnya sebagai stadium tercanggih dan eksklusif di Pantai Timur.

Sejak dirasmi dan dibuka pada Mei 2008, hanya beberapa kali stadium itu digunakan untuk acara sukan besar di Malaysia, bermula Sukan Malaysia (SUKMA) 2008 dan diakhiri Kejohanan Olahraga Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2016.

Ada juga beberapa kali Liga Bola Sepak Malaysia bermain di padang stadium itu, namun selebihnya menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), yang berkapasiti 15,000 orang, berbanding SSMZA yang tiga kali ganda lebih besar.

Semuanya kerana insiden runtuhan bumbung SSMZA pada 2 Jun 2009 iaitu 13 bulan selepas ia beroperasi hingga menjadikan kos pembangunannya meningkat kepada RM322 juta termasuk pembaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut mengakui tugas buat kerajaan negeri mengubah persepsi masyarakat terhadap SSMZA yang mempunyai sejarah hitam itu.

Katanya, kerajaan negeri ketika ini berusaha untuk mengumpul dana dan membuat penilaian semula dalam rancangan pembaikan SSMZA supaya ia mendapat kembali gelaran asal stadium tercanggih Pantai Timur.

“Harapan rakyat juga adalah impian kerajaan negeri kerana kami tahu Terengganu antara negeri yang cemerlang dalam bidang sukan dan melahirkan ramai atlet. Kami berusaha menyelesaikan masalah, namun keadaan kewangan menjadi kekangan.

“Setakat ini sahaja, sudah RM30 juta dibelanjakan untuk baik pulih runtuhan bumbung sepanjang 80 meter daripada 134 meter itu, tetapi ia sukar diselesaikan sepenuhnya. Struktur binaan bumbung yang tidak bersesuaian dan kos terlalu tinggi untuk diperbaharui.

“Malangnya, selagi bumbung tidak dibaiki, ia tidak akan menyelesaikan masalah SSMZA dan kerosakan akan berulang lagi. Jadi buat masa ini, kami akan baiki keperluan yang bersesuaian dengan bajet dahulu, termasuk memanfaatkan RM1 juta yang diberikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), baru-baru ini.

“Peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki padang dan selepas siap, stadium hanya upaya untuk digunakan bagi perlawanan bola sepak sahaja. Kemudahan lain tidak boleh dibaiki selagi bumbung tidak siap,” katanya ketika dihubungi.


HISHAMUDDIN membantu meletakkan rumput baharu di padang SSMZA Gong Badak. FOTO NSTP

Wan Sukairi berkata, pembaikan padang memerlukan lebih enam bulan dan dijangka siap pada September ini untuk membolehkan acara Piala Malaysia, Liga Super dan perlawanan bola sepak lain dianjurkan.

“Sesungguhnya kerajaan negeri mengambil berat isu keselesaan penyokong bola sepak negeri untuk menyaksikan perlawanan penting membabitkan pasukan Terengganu, apatah lagi SSINS berkapasiti kecil dan SSMZA pula boleh menampung sehingga 52,000 penonton.

“Kami juga nak kekang tragedi berebut tiket yang kerap berlaku di SSINS, tetapi kekangan kewangan menyukarkan baik pulih keseluruhan (SSMZA),” katanya.

Jelasnya, disebabkan SSMZA mempunyai sejarah hitam tersendiri, pihaknya membuat penilaian semula untuk kerja baik pulih secara keseluruhan dan akan berusaha memastikan pembaikannya dapat dilakukan demi rakyat.

“Cuma kini tumpuan kepada pembaikan padang dahulu dan kami bertuah kerana MFL memilih untuk menaja Terengganu bagi projek pembaikan padang SSMZA,” katanya.

Tekad kerajaan negeri, tidak mahu SSMZA menjadi projek gajah putih dan yakin apabila kedudukan kewangan negeri lebih stabil, pembaikan menyeluruh mampu dilaksanakan.

Dalam pada itu, Timbalannya, Hishamuddin Abd Karim bertanggungjawab memastikan projek pembaikan pertama SSMZA iaitu padang bola sepak dijalankan dengan baik.

Malah, beliau bersama pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) meninjau kerja awal pembaikan itu bermula 8 April lalu, penumpuan kepada semakan terhadap sistem saliran.

“Kami tengok sama ada ia berfungsi atau tidak, sebelum kerja perataan tanah dan penanaman rumput baharu dimulakan. Kita akan menggunakan rumput jenis Bermuda berbanding jenis Paspalum yang lebih cerewet penjagaannya seperti memerlukan air masin untuk proses siraman.

“Insya-Allah padang bola sepak ini akan mendapat kelayakan penggunaannya selepas selesai baik pulih,” katanya yang memberitahu pembaikan itu dijangka selesai September ini.


KEADAAN kerosakan fasiliti yang belum diperbaiki di SSMZA. FOTO Ghazali Kori

Penyokong rindu SSMZA

“Sepatutnya sudah lama stadium itu dibaiki dan menjadi kegunaan utama untuk acara sukan negeri terutama bola sepak. Tetapi hingga sekarang pun masih dibiar kosong,” kata peminat bola sepak Terengganu, Ahmad Shariman Alwi, 27.

Katanya, kali terakhir dia menjejakkan kaki ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak pada 2017 ketika padangnya masih boleh digunakan untuk perlawanan bola sepak antara Terengganu dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

“Sekiranya perlawanan Liga Super dan Liga Perdana dianjurkan di SSMZA Gong Badak, penyokong tidak mempunyai masalah untuk ke stadium kerana kapasitinya yang mampu menampung ramai penonton berbanding Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) di Kuala Terengganu.

“Penonton terutama penyokong pasukan Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFCII) sering mengalami masalah setiap kali dua pasukan itu layak ke perlawanan penting seperti peringkat suku akhir dan separuh akhir.

“Kami terpaksa berhimpit dan beratur panjang untuk membeli tiket kerana bimbang tiket tidak mencukupi, memandangkan SSINS hanya mampu menampung 15,000 penonton berbanding SSMZA yang boleh memuatkan 52,000 penonton pada satu-satu masa,” katanya ketika ditemui.


KEADAAN kerosakan fasiliti yang belum diperbaiki di SSMZA. FOTO Ghazali Kori

Disebabkan itu, dia berharap masalah SSMZA diselesaikan segera supaya penyokong lebih ghairah menonton bola sepak dan pemain negeri juga lebih bermotivasi.

Seorang lagi peminat bola sepak, Mohd Hilmi Asayari, 30, berkata, tidak mustahil kerosakan stadium berkenaan akan bertambah teruk sekiranya ia tidak dibaiki dengan segera.

“Kami difahamkan stadium itu dalam proses baik pulih tetapi, sampai sekarang pun ia tidak selesai sejak runtuhan pertama pada 2009. Pembaikan dibuat dalam tempoh itu pun terhad sangat.

“Saya harap kerajaan negeri memandang serius masalah ini dan segera bertindak untuk memenuhi keperluan rakyat. Tidak wajar stadium yang dulunya menjadi ikon negeri dan tercanggih di pantai timur kini terbiar.

“Bukan itu sahaja, kerajaan negeri sudah membelanjakan wang yang banyak untuk menyiapkan stadium berkenaan jadi amat merugikan jika ia dibiarkan begitu sahaja,” katanya yang berasal dari Kampung Banggol Pauh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 8:04 AM