AVENGERS: Endgame adalah filem ke-23 dalam filem francais paling berjaya sepanjang zaman dengan kutipan lebih RM76 bilion
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

(Yang mengikuti sesi bertemu peminat Avengers: Endgame di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini)

ALAM semesta berada dalam keadaan kucar-kacir selepas Thanos berjaya mengumpul lima Batu Infiniti lantas melenyapkan lebih 50 peratus kehidupan termasuk sebahagian besar anggota The Avengers.

Bagi membalas dendam, The Avengers yang tinggal, Captain America, Iron Man, Black Widow, Thor, Hawkeye, Hulk (Dr Bruce) dan Antman memburu Thanos yang bersembunyi di sebuah planet dikenali The Garden.

Pemburuan mereka kemudian dibantu dengan kemunculan Captain Marvel selepas menerima mesej kecemasan dihantar Ejen Fury yang turut menjadi mangsa Thanos.

Setakat itu saja peminat The Avengers tahu dan apa yang berlaku dalam ‘Marvel Cinematic Universe’ (MCU) selepas itu masih menjadi tanda tanya.

Teka-teki, teori dan segala macam sinopsis mengenai Avenger: Endgame mulai muncul di alam maya dek keterujaan peminat setia selepas menyaksikan Avengers: Infinity War tahun lalu yang meninggalkan kesan besar terhadap mereka.

Bertemu dengan produksi utama filem pecah panggung itu di Seoul, Korea Selatan pada Selasa lalu, Harian Metro berkesempatan mendengar sendiri pendapat mereka mengenai fenomena yang diwujudkan peminat.


DARI kiri, Robert enggan sah atau nafi watak mereka akan bertembung musuh. Kanan, Watak Brie sebagai Carol dan Captain Marvel mengubah peribadinya.

Presiden Marvel Studios, Kevin Feige berkata, produksinya sentiasa mahukan Avengers: Endgame menjadi penamat yang muktamad.

“Filem ini menjadi penutup kepada 10 tahun pertama MCU. Avengers: Endgame adalah filem ke-23 dalam filem francais paling berjaya sepanjang zaman dengan kutipan lebih RM76 bilion dan ia sebelum filem terbesar dalam Infinity Saga dilancarkan.

“Tapi Endgame tidak akan menjadi pengakhiran karakter dalam buku komik yang dibawa ke layar, sebaliknya akan ditayangkan melalui saluran penstriman Disney Plus,” katanya.

Feige berkata, episod pengembaraan baru ini akan menjadi penceritaan dalam bentuk baru yang peminat boleh bersama-sama menerokainya.

Dalam pada itu, dia turut meminta peminat supaya membawa tisu apabila menonton filem bermula 24 April kelak.

Katanya, dek masa tayangan berdurasi 182 minit (tiga jam, dua minit), peminat juga perlu membawa semangat dan rasa kasih terhadap setiap karakter dan pelakon.

“Mereka (pelakon dan kru) bekerja keras dalam tempoh masa yang panjang. Kami merakam filem hampir dua tahun bersama-sama Infinity War pada masa sama.

“Saya fikir pergi saja ke panggung wayang penuh dengan peminat serta penonton lain dan berseronok menontonnya,” katanya.

Dia turut memberi bayangan berkemungkinan wujud sekuel yang belum boleh diumumkan.

Katanya, ada antara filem itu akan menampilkan karakter yang sudah pun peminat kenali, selain mengusik teori peminat bahawa akan ada watak Ironheart atau mungkin Shuri menjadi watak Black Panther.

“Segelintir karakter pembantu akan meneruskan watak utama, manakala beberapa karakter baru akan diperkenalkan.

“Ganjaran untuk semua filem ini berhasil adalah kami dapat cuba melakukannya sekali lagi dan dengan cara berbeza serta belajar daripada kesilapan lalu dan cuba melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan,” katanya.

Baginya, Marvel pastinya belum mahu cuba ‘membunuh’ karakter besar dan berkemungkinan Endgame akan memberi persepsi luar jangka peminat.

Adik-beradik Russo yang juga pengarah berkata, filem kali ini dianggap projek terbaik mereka dan tentunya ada rasa lelah selama proses pembikinan.

“Penat tapi kami berdua sangat ‘ghairah’ dengan karakter Marvel, ceritanya dan paling penting mampu membuatkan mereka gembira,” kata Joe Russo.

Joe turut membandingkan populariti global Avengers secara individu berbanding komuniti malah berpendapat mengapa dua perkara itu berhubung adalah kerana ia berkaitan dengan komuniti.

“Ia mengenai semangat sekumpulan adiwira bergandingan untuk menentang musuh yang sama. Saya berasakan ia mesej yang penting untuk filem sebelum ini dan sebab itulah ia popular seluruh dunia,” katanya.

Anthony pula berpendapat filem kali ini sebagai penamat paling sukar mereka sebagai tukang cerita.

Tapi melihat reaksi penonton melalui Infinity Wars tahun lalu yang meninggalkan kesan besar, menjadikan mereka lebih teruja ketika menyunting Endgame sepanjang tahun lalu.

“Kami berpendapat ia sangat penting. Kita jarang ada situasi dalam filem di mana orang jahat menang tapi secara zahir banyak situasi yang kita kadangkala terpaksa merana seperti itu.

“Kami mempunyai peluang itu di dalam filem ini sebab penceritaan bersiri Marvel dan kisah itu berterusan walaupun filem tamat,” katanya.

Mereka juga mengakui ia agak istimewa kerana menjadi filem terakhir pencipta karakter Marvel iaitu Stan Lee muncul sebagai watak pembantu.

Anthony berkata, mereka kini dalam perancangan untuk melakukan sesuatu sebagai memperingati legenda ikonik itu.

Stan Lee yang memberi revolusi baru kepada buku komik dan mencipta karakter adiwira seperti Spider-man, Iron Man dan Hulk meninggal dunia pada 12 November tahun lalu.

Malah ramai peminat mengingati figura itu sebagai watak pembantu dalam filem Marvel sebelum ini.

“Kami sangat sayangkan Stan Lee dan saya rasa ia hebat jika Endgame akan menjadi watak pembantu terakhirnya.

“Kami teruja dengan kehidupan Stan Lee dan kini dalam proses menghasilkan sesuatu yang berkait rapat dengan kerja dan sejarah hidupnya bersama Marvel.

“Bagaimanapun, kami belum bersedia untuk mendedahkan perinciannya tapi ia akan menjadi sebuah dokumentari,” katanya.

Mereka sempat berseloroh dengan nasihat supaya penonton kelak supaya mempersiapkan diri dengan jangan makan atau minum beberapa jam sebelum menonton. Kata mereka, dengan durasi filem 182 minit filem itu, ia bukan waktu sesuai penonton ke tandas.

Filem terakhir itu akan menunjukkan bagaimana baki adiwira berdiri menentang Thanos dan Kapten Marvel berkemungkinan memainkan peranan penting dalam filem terbaru itu.

Bercakap dari segi teori itu, Brie Larson yang memegang watak ikonik Kapten Marvel berkata, wataknya berjaya mengubah dirinya sebagai pelakon dan peribadi.

“(Watak) Carol Danvers mengajar banyak dan saya sentiasa melabel diri sebagai seorang yang introvert yang mempunyai penyakit asma.

“Tapi sembilan bulan menjalani latihan judo dan tinju sebelum penggambaran mengubah diri saya. Ia mengubah otak, cara membawa diri dan menguatkan suara saya.

“Ia satu penghormatan dapat berkongsi karakter ini dengan dunia dan dengan harapan orang lain akan merasai perkara sama selepas menontonnya kelak,” kata Brie optimis.

Katanya, dia melihat wataknya sebagai simbol kepada kepentingan yang diwakilinya, terutama kepentingan sebuah cerita mengenai wanita serta perjalanannya.

Baginya, ia juga untuk semua pihak selain mengenai persamaan untuk semua golongan.


Dari kiri, Joe, Anthony, Kevin, Robert Downey Jr, Brie Larson dan Jeremy Renner.

TERDESAK MENJEJAKI THANOS

Itu hal paling penting dalam Avengers: Endgame tapi seperti disebut awal, semua pelakon dan kru enggan mendedahkan butiran penuh penceritaan.

Robert Downey Jr tidak dapat mengesahkan atau menafikan mempunyai sebarang interaksi dengan musuh.

“Kami tak tahu bagaimana ia akan berakhir. Tunggu saja minggu depan ketika sesi tayangan perdana bersama-sama peminat lain,” kata pemegang watak Iron Man itu.

Biarpun kurang maklumat, pastinya ia tidak menghalang peminat setia terus mencipta pelbagai spekulasi.

Hal itu turut dikongsi Jeremy Renner yang suka kreativiti muncul daripada pelbagai teori dilontarkan peminat.

“Ia sangat melucukan dan agak gila-gila, tapi ia juga bermakna mereka sanggup melabur ke dalam penceritaan,” kata Renner yang popular dengan watak Hawkeye.

Malah pada masa sama, dia tidak dapat membayangkan akan terus memegang watak ikonik itu pada masa depan kerana percaya adalah tidak sesuai dia masih memakai seluar ketat pada usia 50 tahun.

Captain Marvel menangis depan 4,000 peminat di Seoul

Pada sesi acara bertemu peminat yang berlangsung di Jang Chung Arena, Seoul pada Isnin lalu, Brie Larson tidak mampu menahan air mata saat melihat sambutan peminat tempatan dan antarabangsa.

Apatah lagi lebih 4,000 peminat berkumpul di arena itu sekali gus memberi nuansa seolah sebuah konsert K-pop popular tempatan.

Brie berkali-kali mengucapkan terima kasih dan ‘aku cinta kamu’ dalam bahasa Korea selain isyarat ‘hati’ kepada peminat sekali gus mendapat sorakan peminat.

Robert pula yang pernah tiga kali ke Korea bagi mempromosi filem dengan kali pertama pada 2009 untuk filem Iron Man, berkata negara itu akan sentiasa berada di tempat istimewa di dalam hatinya.

“Saya ada tiga perkataan, ini ialah gila!,” jerit Robert sambil disambut jeritan peminat dalam arena.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 6:31 AM