NASSIER mahu popularkan Petanque dalam kalangan peminat, rakan artis selepas dilantik ikon sukan itu.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


BUKAN mudah untuk bersaing serta bertahan dalam industri seni yang sentiasa menyaksikan kemunculan ramai muka baru dengan pelbagai genre muzik. Namun, penyanyi malar segar dan versatil, Datuk Nassier Wahab membuktikan segala-galanya tidak mustahil dicapai jika mempunyai semangat dan keazaman yang tinggi.

Nassier yang menceburi industri hiburan tanah air pada pertengahan era 1980-an, kekal bertahan dan dikenali termasuk dalam kalangan peminat generasi baru.

Berbekalkan pengalaman yang dimiliki, dia masih laris menjadi pilihan penganjur untuk tampil dalam persembahan eksklusif serta membabitkan orang kenamaan.

Ditemui baru-baru ini, Nassier, 57, memberitahu dia baru saja menghasilkan album mini mengandungi lima lagu diberi judul Dunia Cinta terbitan Insitech Musicland Sdn Bhd.

“Album ini dirakam di Bandung, Indonesia di bawah kendalian komposer Syahrul Elmoka pada Disember tahun lalu.

“Syarikat Insitech Musicland Sdn Bhd yang putuskan untuk menjalinkan kerjasama dengan komposer Indonesia dan sebagai artis saya hanya menurut.

“Saya menyanyikan empat lagu ciptaan Syahrul berjudul Sajak Cinta, Cemburu, Dunia Cinta dan Tentang Cinta serta turut merakamkan semula lagu Sudah Ku Tahu nyanyian asal kumpulan Projektor Band dalam bentuk pop,” katanya.

Menurutnya, dia juga mengambil kesempatan berada di sana dengan menghasilkan muzik video lagu dalam album itu.

Setakat ini, Nassier sudah menghasilkan 24 album kompilasi dan 16 album studio termasuk album terbaru itu.

“Bermula pada 2004 menerusi album Memori Cinta Luka, saya tak pernah berhenti menghasilkan album setiap tahun,” katanya.

Jadi ikon Petanque

Ketrampilan dan karisma Nassier ternyata menjadi tarikan buat Penaung Persekutuan Petanque Malaysia, Tengku Omar Alsaddam Tengku Shahreza dan Presiden Persekutuan Petanque Malaysia, Datuk Ahmad Radzi Mansor yang melantiknya sebagai Ikon Selebriti Petanque Malaysia.

Dia akan bertanggungjawab mempromosikan sukan Petanque secara meluas kepada rakyat Malaysia serta akan terbabit secara langsung dalam kejohanan Piala PPM (Persekutuan Petanque Malaysia) yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Tan Seri Dato Dr Mohd Said, Seremban 2 pada 27 hingga 28 April ini.

“Memang saya pernah dengar nama dan tengok permainan Petanque, tapi tak terbabit secara langsung. Kebetulan baru-baru ini saya ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun dan tengok pelajar di situ main. Rasa seronok juga melihatnya.

“Tak sangka apabila balik ke sini, Tengku Omar dan Datuk Radzi tawarkan saya jadi ikon Petanque. Saya fikir mengapa tidak mencubanya. Lagipun sukan ini tak begitu cerewet dan sesuai dimainkan dari peringkat bawah hingga veteran.

NASSIER, Radzi dan Tengku Omar berhasrat membangunkan Petanque di Malaysia.

“Sebagai selebriti juga, insya-Allah saya akan cuba popularkan Petanque dalam kalangan rakan artis dan peminat,” katanya.

Menurutnya, kadangkala dia terbabit dengan tawaran sesuatu majlis yang turut menampilkan sukan rakyat. Justeru dia bercadang memperkenalkan Petanque kepada peminat khususnya orang kampung.

“Ini impian saya apabila dilantik sebagai ikon permainan ini. Semoga Petanque akan berkembang di negara kita dan semua rakyat Malaysia menggemarinya.

“Tak salah dikatakan permainan Petanque seakan bermain guli. Insya-Allah saya sekarang ke arah mencintai permainan ini.

“Saya sedang memahami cara permainan ini dan pada 27 April nanti akan berada di Seremban 2 untuk terbabit secara langsung dalam pertandingan dan akan buat persembahan,” katanya.

Nassier mengakui dirinya aktif bersukan ketika zaman sekolah dan meminati sukan ping pong serta tenis. Bahkan dia juga pernah bermain ragbi mewakili sekolahnya.

“Ini peluang terbaik untuk saya kembali aktif bersukan. Sekarang saya selalu joging, berbasikal dan mengikuti senaman tai chi untuk keluarkan peluh bagi menjaga kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Radzi, 37, berkata, pihaknya berminat mengambil Nassier kerana pengaruhnya yang kuat dalam kalangan peminat.

“Apabila bertemu Nassier, saya berterus-terang kata padanya tak boleh janjikan bulan serta bintang dan dia setuju.

“Katanya mengapa tidak kita sama-sama bangunkan PPM? Bagi saya sendiri Petanque mungkin agak asing, tapi ada pengikut di Malaysia,” katanya yang mula menerajui PPM sejak Ogos tahun lalu.

Menurutnya, Petanque satu sukan yang mudah di mana golongan kanak-kanak dan semua peringkat umur boleh memainkannya serta kosnya rendah dengan hanya perlu membeli bola.

Tengku Omar, 28, pula memberitahu Petanque berasal dari Perancis dan dimainkan bermula pada 1907.

“PPM mula ditubuhkan pada 2011. Saya sendiri mulanya tak tahu apa itu Petanque. Apabila bertemu Datuk Radzi dan meluahkan hasrat untuk menjadikan saya sebagai penaung, saya bersetuju kerana mahu membangunkan sukan ini kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 6:00 AM