KANAK-KANAK menagih simpati daripada jemaah di Masjid Negara.
Sharul Nazri Zulkifli Chow
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Walaupun orang ramai dinasihatkan tidak memberi wang kepada pengemis kanak-kanak kerana dikhuatiri menjadi mangsa sindiket di negara ini, perkara itu masih berlaku.

Tinjauan Harian Metro di Masjid Negara, di sini, dalam tempoh dua minggu mendapati jemaah yang menunaikan solat Jumaat akan didatangi kanak-kanak lelaki untuk menagih simpati.

Malah, sekumpulan empat pengemis cilik itu didapati berlegar-legar di sekitar masjid sambil membawa cawan plastik dengan menghampiri jemaah sebaik selesai menunaikan ibadah.

Kanak-kanak itu dipercayai individu sama turut dilihat berpakaian lusuh dan mereka akan mengelak apabila dihampiri untuk ditanya pelbagai soalan.

Pengemis cilik yang dikenali sebagai Mikail, 8, berkata, dia terpaksa meminta sedekah bagi memperoleh wang untuk diberikan kepada ibunya dengan mendakwa bagi menampung pendapatan keluarga.

“Mak saya jual pen dekat pintu depan masjid ini. Kami bukan orang senang dan terpaksa hidup dengan meminta duit daripada orang saja,” katanya.

Pengemis lain, Adam, 10, pula mendakwa meminta simpati untuk membantu ibunya yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai makan di Chow Kit, di sini.


SEORANG wanita mendukung anaknya meminta sedekah di pekarangan Masjid Negara.

Menurutnya, bapanya mengalami masalah kesihatan dan mustahil baginya untuk menampung keluarga.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Masjid Negara, Amru Alhaz Adnan berkata, pihaknya menyedari kehadiran peminta sedekah termasuk kanak-kanak yang menagih simpati jemaah di kawasan masjid.

Menurutnya, hampir setiap minggu akan kelihatan pengemis cilik berlegar-legar di kawasan masjid.

“Mengikut peraturan, kami memang tidak membenarkan mana-mana individu untuk meminta sedekah di sekitar kawasan masjid dan kami akan menghalang jika ternampak mereka.

“Ini kerana ada golongan yang boleh bekerja dan berkemampuan dari segi fizikal, tapi mengambil jalan mudah dengan menggunakan kanak-kanak untuk menagih simpati,” katanya.

Dalam pada itu, Talian Kasih 15999 menerima 66 panggilan berhubung eksploitasi pihak tertentu yang menggunakan kanak-kanak untuk meminta sedekah di seluruh negara.

Jumlah berkenaan direkodkan bermula 27 Mac hingga 1 April lalu selepas pengumuman dibuat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Yeoh berkata, 37 panggilan dibuat berkaitan pengemis kanak-kanak tempatan manakala 29 panggilan membabitkan kanak-kanak warga asing.

“Dalam tempoh itu, 21 panggilan diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hulu Langat (3), Gombak (3) dan Subang Jaya (2),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 7:30 AM