Suraya Roslan dan Halim Salleh melaporkan di Kemboja
am@hmetro.com.my


HANYA berbekalkan cahaya lampu set jana kuasa elektrik untuk menerangi dewan bedah hospital kontena di Hospital Beyond Boundaries (HBB), Chraing Chomres di sini, lima doktor pakar Malaysia berupaya membedah 11 kanak-kanak tempatan yang menghidap hernia (angin pasang).

Pakar bedah pediatrik, Dr Syariz Izry Sehat yang mengetuai Misi Kemanusiaan dan Perubatan Kemboja mengakui, keadaan di dewan bedah itu tidak sempurna, termasuk catuan bekalan elektrik yang dikenakan kerajaan Kemboja berikutan musim kemarau melanda memberi cabaran kepada pasukannya.

“Kerajaan membenarkan penggunaan elektrik selama lima jam sehari, jadi kami terpaksa menggunakan set jana kuasa yang ada ketikanya tidak berfungsi.

“Untuk melakukan pembedahan, kami hanya dapat menggunakan lampu dewan bedah, lampu siling tidak dapat digunakan berikutan tidak cukup kuasa, malah ada masa tertentu kami terpaksa menyalakan lampu telefon bimbit.

“Bagi pakar bius pula, dia hanya boleh gunakan alatan tertentu dan ini semua memang mencabar.

“Walaupun terpaksa membedah pesakit dalam keadaan panas dan hanya alat tertentu dapat digunakan, kami berjaya mengatasi kekangan ini,” katanya ditemui pada Misi Kemanusiaan dan Perubatan Kemboja Bersama Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), baru-baru ini.

Misi lima hari itu disertai 33 individu membabitkan lapan doktor, tiga jururawat dan selebihnya sukarelawan Muslim Care yang diketuai tiga rakan, Dr Syariz Izry serta dua pakar bius, Dr Mafeitzeral Mamat dan Datuk Dr Azmil Farid Zabir.

Kerja kemanusiaan tanpa sempadan yang digerakkan Muslim Care adalah berterusan dan orang ramai yang mahu membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Muslim Care Malaysia Society di Maybank (564490413882), Bank Islam (14014010147470) atau Bank Muamalat (14010007654717).

Dr Syariz Izry berkata, peralatan untuk pembedahan serta perubatan juga terhad, namun dengan kecekapan doktor mereka mampu mengatasinya dengan baik.

“Memang agak mencabar kerana saya hanya dapat guna satu lampu dewan bedah. Namun, kami berjaya melakukan 11 pembedahan di hospital kontena HBB yang dibina dua doktor rakyat Malaysia ini,” katanya.

Katanya, dia perlu mengakui kepakaran mereka sangat diperlukan umat Islam di situ yang memerlukan rawatan percuma.


PENDUDUK Muslim Kemboja tersenyum gembira mendapat bantuan makanan.

“Semua pesakit daripada keluarga susah, mereka sanggup menempuh perjalanan enam hingga lapan jam untuk tiba di HBB.

“Secara amnya, anggaran kos pembedahan untuk angin pasang berjumlah AS$1,000 (RM4,000), kalau kos di hospital swasta di Malaysia pula antara RM6,000 dan RM7,000.

“Rata-rata mereka tidak mampu kerana daripada keluarga berpendapatan rendah, setiap pesakit ini kita cuba cari dana untuk bantu mereka melalui sumbangan orang ramai untuk bayar AS$150 bagi seorang pesakit kepada HBB,” katanya.

Menurutnya, apa yang membuatkannya terharu, semua doktor, jururawat serta sukarelawan yang datang menggunakan wang sendiri untuk penerbangan dan penginapan.

“Saya perlu tabik kepada semua sahabat yang sudah bersama sejak 2017, kebanyakan kami berkhidmat di hospital swasta bermakna sepanjang kami berada di sini, kami tidak memperoleh gaji, jadi itu sumbangan kami kembali kepada masyarakat.


SEORANG wanita Kemboja membawa bantuan makanan menaiki motosikal bersama anaknya.

“Malah, ucapan terima kasih juga buat rakan doktor di sektor kerajaan apabila mereka mengorbankan cuti tahunan sendiri untuk membantu umat Islam di Kemboja ini. Terus terang saya katakan tiada imbuhan saya beri, mereka datang secara sukarela, bayar tiket sendiri, begitu juga penginapan,” katanya.

Dr Syariz Izry berkata, selain itu, pada hari ketiga dan keempat mereka berkunjung ke dua penempatan Melayu Champa Kemboja wilayah Tboung Khmum, di sini iaitu Kampung Cherdial Thom dan Kampung Sangkom Thmey.

“Di kedua-dua kampung ini, kita berjaya melakukan khatan terhadap lebih 100 kanak-kanak berusia enam tahun ke atas termasuk seorang remaja berusia 17 tahun secara percuma yang dianggarkan kos seorang adalah AS$50 (RM200).

“Berikutan kekurangan kemudahan, kami terpaksa menggunakan cahaya matahari saja untuk melakukan khatan, malah kanak-kanak ini dibaringkan atas meja dengan peralatan yang cukup terhad.

“Semuanya berjalan lancar dan misi kemanusiaan kali keempat ini berjaya dengan bantuan semua pihak termasuk dana diberikan orang ramai untuk mewakafkan 30 pam air (setiap satu berharga RM1,500) dan 150 pek makanan kepada keluarga miskin,” katanya.

“Dengan kos keseluruhan dianggarkan RM100,000, matlamat misi ini tercapai dan Insya-Allah kami akan teruskan lagi misi seperti ini bagi setiap enam bulan selagi terdaya dengan bantuan dana daripada Muslim Care atau badan bukan kerajaan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 6:00 AM
DOKTOR sukarelawan bertungkus lumus menjalankan pembedahan dalam keadaan gelap akibat kekurangan tenaga elekrik ke atas pesakit hernia dalam misi Muslim Care di Chrang Chomres, Phnom Penh, Kemboja.