FILEM One Two Jaga beri impak kepada masyarakat kerana ada kaitan dengan orang diseluruh dunia. FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


KEJAYAAN besar diraih filem One Two Jaga di Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) baru-baru ini terus melonjakkan nama pelakon dan penerbit, Bront Palarae, 41.

Selaku penerbit menerusi syarikat Pixel Play Entertainment, Bront menerima pujian kerana mengambil langkah berani menghasilkan filem mengangkat isu sosial yang dekat dengan masyarakat.

Walaupun sambutannya agak sederhana, One Two Jaga membawa satu dimensi baharu dalam arus industri filem tanah air yang sering disogokkan genre filem cinta dan seram.

Kini, Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin hadir dengan karya terbaharunya yang sekali lagi menampilkan isu masyarakat dan kritikan sosial.

Bukan sebagai penerbit, sebaliknya Bront melakonkan watak sebagai anggota polis iaitu Inspektor Kamal dalam filem berjudul Fly By Night - Sebelum Pagi Berakhir arahan Zahir Omar yang menemui penonton bermula hari ini.

Filem terbitan Planet Films Sdn Bhd ini berkisar mengenai kumpulan empat pemandu teksi melakukan kegiatan memeras ugut penumpang yang diambil dari lapangan terbang.

Bront mengakui keterbukaan juri dalam menilai filem mungkin membuka ruang untuk genre filem sebegini dihasilkan.

“Saya percaya ia sedikit sebanyak mempengaruhi projek filem seterusnya. Sebelum ini mungkin orang akan pandang sebelah mata dan boleh cakap beria-ia untuk menghasilkannya.

“Bagaimanapun, jika dilihat dari sudut tanggungjawab, usaha membuat filem genre begini mungkin tiada,” katanya.

Bront berkata, dia seorang yang mahukan cabaran apabila ada filem yang dihasilkan khusus untuk festival dan ada untuk projek kemasyarakatan.

“Seperti One Two Jaga, kejayaan yang diraih memberi semangat dan motivasi supaya kami tahu apa yang dirancang menjadi. Dalam Fly By Night pula, isu yang diketengahkan mempunyai kelainan dan keistimewaan sendiri.

“Saya sebagai inspektor polis dapat tahu ada satu sindiket dijalankan sebuah keluarga dan cuba bertindak mematahkan sindiket itu,” katanya.

Menurutnya, Fly By Night tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak dan tiada siapa pun perlu terasa dengan apa yang ditampilkan.

“Garapan ceritanya mungkin berdasarkan cerita benar tetapi wataknya adalah rekaan. Sememangnya dalam filem perlu menampilkan ketulenan dan pengarah wajar dipuji kerana berjaya menampakkan cerita seperti benar dan seperti berdasarkan kisah benar.

“Bagaimanapun, filem itu fiksyen sepenuhnya dan inilah yang perlu diketahui semua,” katanya.

Filem ini turut menampilkan pelakon kelahiran Singapura, Sunny Pang yang membawa watak samseng bernama Tai Lo.

Bront mengakui Sunny seorang pelakon yang bagus dan selesa bergandingan dengannya.

“Penonton dapat melihat hubungan antara Kamal dan Tai Lo. Mereka berdua sebenarnya ada kaitan kerana bapa Tai Lou pernah menjadi ketua Kamal. Ada kelainan dalam filem ini kerana memaparkan situasi realistik dan apabila penonton menyaksikannya, mereka pasti berkata mereka pernah melaluinya,” katanya.

Menurut Bront, filem ini pasti memberi impak kepada masyarakat kerana seluruh jalan cerita mengisahkan orang di seluruh dunia termasuk di Malaysia, tanpa mengira ia benar atau tidak.

“Ada kepuasannya dan seronok berlakon dalam filem ini. Selain filem yang saya berlakon sebelum ini, Fly By Night lebih tulen kerana memaparkan kesusahan orang lain.

“Ia bukannya menunjukkan betapa berkuasa seseorang itu, tapi fokus terhadap kesusahan golongan kelas pertengahan,” katanya.

Bront berkata, Fly By Night sudah dibawa menjelajah ke beberapa festival luar negara seperti Macau dan Santa Barbara serta menerima sambutan baik.

“Terdapat beberapa babak yang menyentuh hati dan saya sendiri hampir menangis. Gembira bekerja untuk skrip seperti ini. Selepas Zahir hantar skrip kepada saya, kadang-kadang kita hanya membelek muka surat dan menganggap semua filem adalah sama.

Bagaimanapun, untuk filem ini, saya membacanya sehingga tiga jam sebelum mengulang semula membaca skrip,” katanya memberitahu filem ini seterusnya akan dibawa ke festival filem di Itali, New York dan Jog­jakarta.

BRONT turut membintangi filem Fly By Night yang sudah dibawa menjelajah ke beberapa festival luar negara.

Seronok bekerja dengan Zahir

Kali pertama bekerja dengan Zahir, Bront mengakui mendapat kepuasan berbeza. Katanya, dia memang ingin bekerjasama dengan Zahir selepas menonton karya filem pendek arahannya, K-Hole yang memenangi anugerah BMW Shorties pada 2007.

“Proses keseluruhan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan. Saya sangat suka cara Zahir bekerja. Dia pandai memastikan semua orang di set dalam mood bagus dan kami banyak berdiskusi mengenai skrip dan ada latihan. Dia tahu apa yang dia mahu,” katanya.

Mengulas cabaran membawakan wataknya, Bront berkata, dia perlu mencari keseimbangan atau

mengetengahkan sisi realistik dan menampilkan kelainan.

“Saya mahu menonjolkan watak pegawai polis berbeza, bukan tipikal pegawai polis seperti dalam TV. Paling sukar adalah untuk menghafal bahasa Mandarin dan Kantonis, tapi ia cabaran yang menyeronokkan. Ada banyak babak mengujakan dalam filem ini tapi keganasan sangat minima,” katanya yang mengharapkan filem ini dapat memberi impak kepada penonton tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 5:30 AM