OSMAN. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


DATUK Osman Sapian sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor semalam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas menyerahkan dua surat peletakan jawatan itu kepadanya dalam pertemuan semalam di Putrajaya dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Buat sementara waktu, Johor tiada menteri besar, mungkin akan dilantik pemangku,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Desas-desus mengenai peletakan jawatan Osman itu bertiup kencang sejak beberapa hari lalu dan memuncak apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor itu bertemu Dr Mahathir di Putrajaya, semalam.

Difahamkan pertemuan berkenaan berlangsung selama kira-kira 30 minit mulai jam 5.45 petang.

Bagaimanapun, setiausaha akhbar Osman iaitu Abdul Hakim Abdul Rahman menyangkal khabar angin itu dan mengatakan ‘bosnya’ menghadiri perbincangan sebagai persediaan pemukiman pemimpin Singapura dan Malaysia.

Namun ketiadaan Osman pada sesi pemukiman hari ini menguatkan lagi spekulasi bahawa beliau akan berundur sebagai Menteri Besar Johor.

Sebaliknya, Exco Johor yang bertanggungjawab ke atas kesihatan dan alam sekitar, Dr Md Sahruddin Jamal menghadiri pemukiman di Putrajaya itu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, menteri besar baharu akan diumumkan dalam masa terdekat dengan mempertimbangkan tiga hingga empat calon.

Berkaitan alasan diberikan Osman berhubung peletakan jawatannya, Perdana Menteri belum mahu mendedahkannya.

“Ada alasan yang diberikan, kami akan beritahu kemudian. Dia mahu meletakkan jawatan dan kami menerimanya,” katanya.

Berkaitan Sultan Johor, ditanya sama ada Osman ada menghadap Sultan Ibrahim semalam, Dr Mahathir secara berseloroh berkata: “Dia (Osman) menghadap ‘DYMM’ Mahathir Mohamad dengan dua surat. Satu surat kepada saya untuk menyatakan peletakan jawatannya, dan satu lagi surat ialah untuk Sultan Johor dan saya berhak membacanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 6:58 PM