KUMPULAN PATI Rohingya berehat di kawasan berbatu di tepi pantai.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


“SEORANG daripada mereka fasih berbahasa Melayu dan berkata sudah mendarat lebih awal menaiki bot pancung dipercayai masuk daripada perairan Thailand sebelum berpecah mengikut beberapa kumpulan kecil dan melarikan diri ke kawasan bendang,” kata Mohamad Daud Che Mei, 40.

Penduduk Kampung Belati di sini itu berkata demikian mengenai kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya lelaki yang mendarat di Pantai Sungai Baru jam 7 pagi semalam.


PATI yang mendarat meredah lumpur untuk sampai ke pantai.

Menurutnya, kehadiran mereka yang berusia antara 18 dan 30 tahun disedari penduduk kampung yang keluar bekerja di jeti Kuala Sungai Bahru.

Katanya, penduduk kampung hanya melihat tujuh PATI saja dalam keadaan berselut dan kepenatan berehat di kawasan berbatu di pantai.

“Penduduk kampung mengejar mereka bersama pihak Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis bersama AKSEM (Agensi Kawalan Sempadan Malaysia) selepas melihat mereka melarikan diri,” katanya ketika ditemui di Kuala Sungai Bahru.


ANGGOTA APM memeriksa PATI yang ditahan.

“Kerana kasihankan mereka yang keletihan, penduduk membawa mereka ke gerai nelayan dan memberikan makanan,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada mereka mendakwa ada satu lagi bot pancung membawa 40 rakan mereka, tetapi tidak tahu bila mereka itu akan tiba.

Pada awal Mac lalu, 35 etnik Rohingya terdiri daripada 24 wanita dan sembilan kanak-kanak ditemui dalam selut di pesisir pantai sama.

Mereka didakwa ditinggalkan tekong bot 500 meter dari pesisir pantai dan dipercayai dibawa masuk sindiket pemerdagangan manusia menerusi perairan Thailand.

Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan 170,000 pelarian etnik Rohingya dan warga Bangladesh diseludup sindiket ke Malaysia dari 2012 hingga 2015 membabitkan urus niaga haram antara AS$50 juta (RM174.5 juta) hingga AS$100 juta (RM349 juta) setahun.

Statistik itu didedahkan dalam laporan bertajuk Sold Like Fish setebal 121 muka surat yang dikeluarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Fortify Rights.

Menurut laporan sindiket itu mengenakan bayaran lebih AS$2,000 (RM6,800) kepada pelarian sebelum mereka dibebaskan.

Lebih 170,000 pelarian Muslim Rohingya dan Bangladesh melarikan diri dari Myanmar dan Bangladesh menaiki kapal laut melalui sempadan Thailand-Malaysia.

Akibat terdesak dan mahu keluar dari penganiayaan, pelarian yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak dijanjikan perlindungan di Malaysia dengan bayaran AS$2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 6:20 AM