NABILA mahu kedua-dua cabang seni diceburi bergerak seiringan. FOTO: Mahzir Mat Isa
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


BUKAN saja nyanyian, penyanyi yang semakin popular dengan lagu Vroom Vroom, Nabila Razali juga mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.

Malah, pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali, 27, mengakui mahukan kedua-dua cabang seni diceburi bergerak seiringan.

“Terus terang, saya semakin seronok berlakon kerana dapat bertemu ramai orang yang di luar bidang nyanyian.

“Bidang lakonan juga cabang seni menarik untuk diterokai kerana banyak ilmu yang ditimba sebagai anak seni.

“Walaupun sibuk berlakon, keutamaan tetap pada bidang nyanyian dan ia masih nombor satu dalam karier seni sampai sekarang,” katanya.

Mengenai perkembangan karier nyanyian pula, kata Nabila, dia sibuk mempromosikan lagu baharunya, Vroom Vroom kepada peminat.

“Saya bersyukur dengan peningkatan dalam karier seni pada tahun ini. Selain memenuhi undangan persembahan, saya juga tetap memenuhi undangan berlakon jika ada kelapangan.

“Antara projek baharu ialah telefilem Cik Reen Encik Ngok Ngek untuk tayangan raya nanti. Selain itu, saya juga terbabit dengan program untuk kempen raya,” katanya.

PROGRAM TRAVELOG

Nabila ditemui pada majlis pelancaran program Travel Like Local X Aussie yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas mengenai program travelog itu, kata Nabila, dia bergandingan dengan pengacara popular Alif Satar dan membabitkan penggambaran di Queensland, Australia.

“Saya menimba pengalaman menarik bersama Alif dan penduduk setempat sepanjang penggambaran program di Brisbane.

“Antara aktiviti menarik yang dilakukan ialah menginap di ladang ternakan, memerah susu lembu, menaiki belon udara, berkayak dan menikmati keju,” katanya.

Barisan selebriti lain yang menjayakan program travelog ini ialah Sarah Suhairi, Andi Bernadee, Aedy Ashraf, Atikah Suhaimi, Sharifah Shakinah, Marsha Milan, pasangan suami isteri Azad Jasmin dan Eira Syazira, CK Faizal serta Sherin Amiri.

Program travelog 13 episod itu membabitkan kerjasama dengan Pelancongan Australia dan bertujuan memperkenal lokasi menarik yang jarang diterokai pelancong Malaysia.

Selain Queensland, wilayah lain yang ditonjolkan dalam program itu ialah Australia Barat, Australia Selatan, Tasmania, Victoria dan New South Wales.

Program travelog terbitan Global Station Sdn Bhd itu mula bersiaran pada 2 April lalu, jam 11 malam menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 5:00 AM