STUART Ramalingam.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


SEKURANG-kurangnya tiga individu yang layak digelar ‘penyamun’ dikenal pasti oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi punca ‘kerosakan’ kepada empat kelab, Marcerra United, Kuantan FA, Hanelang dan Terengganu City FC hingga menyebabkan bekas pemain serta barisan kejurulatihan kelab berkenaan menderita tidak menerima gaji.

Setakat ini, individu berkenaan yang masih lagi bebas daripada sebarang tindakan, bertanggungjawab terhadap hampir RM5 juta keseluruhan tunggakan gaji membabitkan pemain dan barisan kejurulatihan kelab terbabit sejak tiga tahun lalu.

Namun, FAM berdepan kekangan untuk menyelesaikan masalah terbabit apabila bekas pemain empat kelab yang sudah tidak beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) itu lebih berminat menuding jari kepada badan induk itu berbanding membongkar identiti individu berkenaan untuk tindakan lanjut.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pemain memilih berdiam diri daripada mendedahkan individu atau pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah terbabit hingga menyukarkan FAM menyelesaikan perkara itu. Katanya, FAM memandang serius kes tunggakan gaji membabitkan kelab ghaib itu dengan mencari penyelesaian iaitu mengenal pasti punca sebenar terhadap masalah terbabit.

“Hampir 75 peratus aduan yang diterima FAM adalah membabitkan bekas pemain daripada empat kelab ghaib itu dengan keseluruhan lebih 200 aduan diterima setakat ini.

“Setakat ini, tiada laporan rasmi daripada bekas pemain kelab berkenaan terhadap individu atau pihak sebenar yang sepatutnya bertanggungjawab membayar tunggakan gaji terbabit dan mereka lebih berminat supaya FAM atau persatuan negeri menyelesaikan bayaran itu.

“Jika kami berbuat demikian, individu yang bertanggungjawab akan terlepas begitu saja dan mungkin masalah terbabit akan berulang lagi selepas ini sekali gus tiada penyelesaian jitu dicapai,” katanya kepada Arena Metro, di Wisma FAM, semalam.

Selain itu, Stuart berkata, beliau juga tidak boleh terus ‘menghukum’ persatuan negeri dengan meminta mereka membuat pembayaran tunggakan gaji kepada pemain berkenaan.

“FAM perlu bersikap adil kerana jika berbuat demikian mungkin persatuan negeri pula akan menghadapi masalah dana kerana jumlahnya bukannya sedikit tetapi jutaan ringgit.

“Oleh itu, kami mahu bekas pemain membuat laporan rasmi dengan menyatakan individu atau pihak yang sepatutnya membayar tunggakan gaji itu sekali gus memudahkan FAM untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya. Sebelum ini, Stuart berkata, sebahagian besar daripada kira-kira RM10 juta tunggakan gaji rata-rata ‘diwarisi’ oleh pasukan Hanelang, Marcerra United, Kuantan FA dan Terengganu City FC yang sudah ‘lesap’ daripada saingan Liga Malaysia (Liga M).

Walaupun FAM sudah membayar tunggakan gaji berkenaan menerusi wang deposit pada awal Mac lalu, ia belum mencukupi bagi menyelesaikan keseluruhan tunggakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 9:00 AM