BELLA Dally dan Arif Izuddin berkenalan dalam tempoh tujuh bulan sebelum bernikah. FOTO: project2pi (Instagram: @project2pi)
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

DALAM tempoh tujuh bulan mereka berkenalan, mengenali hati budi, bertunang dan mengakhiri ikatan ke jenjang pelamin. Biarpun ramai beranggapan tempoh itu terlalu singkat dalam perhubungan, Bella Dally menganggap ia jodoh dan ketentuan yang sudah tertulis buat dirinya.

Kegagalan perkahwinan pertama pada Mei tahun lalu bukan penamat kepada perjalanan hidupnya sebaliknya Bella percaya itu qada dan qadar kehidupan.

Apa yang pasti, mahligai yang baru dibina bersama lelaki pilihan, Arif Izuddin Mohd Radzali, 34, ibarat mencari mimpi kekal yang akhirnya wujud atas nama cinta sejati.

“Kalau ikutkan, sebelum ini pun suami sudah lama nak kahwin tetapi belum ada jodoh. Jadi, apabila kami dipertemukan, saya mahu tahu apa hala tuju hubungan kami.

“Pada masa sama, dia pula sudah lama bersedia nak kahwin. Suami tunjukkan kesungguhan dan serius dalam perhubungan.

“Bagi saya, perancangan dan aturan Allah SWT sangat cantik. Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan,” katanya. Menurut Bella, selepas sah bergelar suami isteri, ia bukan tiket untuknya berkongsi dan mempamer kebahagiaan di laman sosial.

Seboleh-bolehnya Bella yang juga pelakon filem Desolusi ingin kekal ‘low profile’ dan menjadi seperti sebelumnya. “Sejak kami berkawan dan selepas bertunang, baru sekali saya memuat naik gambar bersama di Instagram Story.

“Selepas ini pun, kalau ada hanya yang penting saja. Tidak perlu banyak. Sikit-sikit boleh. Saya mahu kekalkan imej profesional suami seperti yang selalu saya buat,” katanya.

Mengenai perancangan menimang cahaya mata, Bella menyerahkan kepada rezeki dan ketentuan Ilahi.


BELLA Dally bersama ibu bapanya. FOTO: project2pi (Instagram: @project2pi)

“Setiap pasangan yang berkahwin pasti inginkan cahaya mata. Apatah lagi anak itu amanah dan pembawa rezeki. Kalau diberikan rezeki awal, kami terima dengan syukur. Jika sebaliknya, kena berusaha dan banyakkan berdoa,” katanya.

Ditanya perancangan kerjaya lakonan Bella berkata, suami dan keluarga adalah nombor satu.

“Sebelum ini apabila kembali solo, saya memang fokus pada kerjaya. Sekarang, suami dan keluarga menjadi keutamaan.

“Kalau berlakon pun kena ada had. Saya tidak boleh pentingkan diri kerana tanggungjawab sudah berbeza,” katanya.


MEMPELAI bersama keluarga kedua-dua pihak. FOTO: project2pi (Instagram: @project2pi)

Tahu status Bella

Berbeza dengan Bella, ini pengalaman pertama Arif mendirikan rumah tangga. Malah, kehidupannya kini berubah sepenuhnya dengan menggalas tanggungjawab baru sebagai suami.

“Alhamdulillah, Tuhan makbulkan doa saya. Dipertemukan dan dijodohkan dengan Bella. Saya berjanji menjadi lelaki bertanggungjawab dan sentiasa membahagiakan dia.

“Saya juga berjanji menjadi imam hingga ke jannah. Saya sayang Bella sampai bila-bila,” katanya.

Bagi Arif, status Bella sebelum ini bukan penghalang untuknya mendekati dan menyelami isi hati wanita itu.

“Saya tahu Bella pernah berkahwin. Apabila kami berkawan, saya berasakan wujud keserasian dalam perhubungan.


MEMPELAI bergambar bersama keluarga. FOTO: project2pi (Instagram: @project2pi)

“Soal status Bella sebelum ini saya tak pernah jadikan isu atau masalah. Lagipun, saya memang mahu serius dengan Bella dan membawa hubungan ini ke fasa seterusnya.

“Malah, sebelum berkenalan saya juga tahu dia artis berdasarkan namanya tetapi tidak tahu lebih lanjut. Saya pula jenis tidak menonton TV sangat,” katanya.

Bukan saja bergelar suami kepada pelakon yang dikenali, Arif juga perlu bersedia untuk terjun dalam dunia glamor isterinya.

Bagaimanapun, Arif mengakui dia lebih selesa untuk menjadi seperti dirinya sekarang apatah lagi kerjayanya tidak memerlukannya bergerak seiring dengan Bella.

“Saya lebih suka ‘low profile’. Macam mana sebelum ini orang tidak mengenali saya, begitulah juga sekarang dan seterusnya. Biarkan Bella seorang saja yang lebih dikenali dalam bidang diceburinya. Saya pun tidak kisah kalau dia mahu memuat naik gambar kami bersama atau tidak. Ia bukan masalah untuk saya. Apatah lagi saya tidak aktif di media sosial,” katanya.

Memahami kerjaya isterinya, Arif merestui Bella untuk terus aktif sebagai pelakon.

“Tidak ada masalah jika Bella mahu terus berlakon. Saya izinkan sebab itu adalah karier yang dibina dari awal.

“Soal cemburu tidak pernah ada. Masing-masing faham dan sibuk dengan kerja,” katanya.

Kelmarin, Bella dan Arif selamat diijab kabul oleh Pendaftar Pernikahan, Ceraian dan Rujuk, Wilayah Persekutuan di Marina Putrajaya, Wan Mohd Adlan Wan Salleh.

Pada majlis itu, Bella menerima mas kahwin RM1,000 berserta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki. Sementara pihak perempuan menyerahkan sembilan dulang dan wang hantaran dirahsiakan.

Majlis resepsi kedua-dua pihak pula diadakan pada sebelah malamnya dengan dihadiri ahli keluarga, kenalan rapat dan rakan artis. Antara yang hadir ialah Siti Elizad, Amyra Rosli, Amar Baharin, Syamim Farid, Mira Filzah, Betty Rahmad, Adeline Tsen, Ryzal Jaafar, Hanez Suraya dan David Teoh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 6:30 AM